realme C12 Rasmi Diumumkan, Helio G35 Dan Bateri 6000mAh

Siri realme C kini dilihat semakin rancak dimana realme telah melancarkan realme C12. Diperkenalkan terlebih dahulu untuk pasaran Indonesia, rekaan mirip seperti realme C15 tetapi dengan spesifikasi lebih rendah dibeberapa bahagian.



Selain berkongsi rupa paras luaran, sebahagian spesifikasi yang didatangkan pada realme C12 adalah sama seperti realme C15. Antaranya ialah panel IPS LCD 6.5 inci dengan resolusi HD+, takut kecil, sensor imbasan pada bahagian belakang, bateri 6000mAh dan cip MediaTek Helio G35.



Perbezaan antara "dua adik-beradik" ini pula ialah kamera selfie hanya 5MP, dan rakaman belakang realme C12 cuma diberikan dengan sistem tiga kamera, 13MP, 2MP depth dan 2MP makro. Ia tidak mempunyai kamera ultra lebar seperti realme C15.

Satu lagi perbezaan ketara adalah keupayaan pengecasan dimana realme C12 hanya mempunyai sokongan 10W sahaja, tidak seperti realme C15 dengan 18W.

Ia turut ditawarkan dengan satu konfigurasi memori iaitu RAM 3GB dan storan 32GB. Jualan di Indonesia akan bermula pada 16 Ogos ini pada harga IDR 1,899,000 iaitu sekitar ~RM534 mengikut tukaran matawang semasa. Sekiranya ia dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia, adakah realme C12 ini akan menjadi pilihan anda?

Sumber: realme Indonesia