Melihat kepada pengeluaran pelbagai telefon pintar menfokuskan permainan mudah alih oleh pembangun-pembangun lain, Razer nampaknya memulakan langkah untuk menguasai kembali pasaran berkenaan. Mereka telah mengesahkan bahawa ‘Razer Phone 2’(nama tidak rasmi) sedang dalam pembangunan ketika ini.
Pengesahan itu dibuat melalui laporan penyata kewangan separuh pertama tahun ini. Walaupun Razer Phone terdahulu dianggap berjaya, peranti berkenaan boleh dikatakan agak ketinggalan ketika ini kerana tidak menggunakan cip pemprosesan terkini.
Kredit : BGR
Bagaimanapun, setakat ini masih belum diketahui sebarang maklumat rasmi mengenai spesifikasi dalaman serta nama rasmi bagi peranti berkenaan. Namun, ramai pemerhati industri berpendapat ia dijangka akan dilengkapi dengan sistem cip terkini Snapdragon 855 atau Snapdragon 845 dengan clockspeed lebih pantas, bateri yang lebih besar serta sistem penyejukan.
Razer juga pernah memberitahu bahawa misi mereka untuk merapatkan jurang antara kebolehan PC dengan peranti mudah alih suatu hari nanti. Kenyataan itu diulangi sekali lagi apabila Razer menyatakan yang mereka mahu membawa beberapa perisian dan perkhidmatan mereka ke pasaran mudah alih.
Untuk rekod, Razer Phone generasi pertama telah dilancarkan pada November tahun lepas. Mungkinkah Razer memilih bulan yang sama untuk memperkenalkan generasi barunya pula nanti? Sama-sama kita nantikan.