Razer Perkenalkan Model Terbaru Komputer Riba Razer Blade 15

Komputer riba pertama di dunia yang dilengkapi dengan rekaan papan kekunci optikal.


Razer hari ini telah memperkenalkan model terbaru komputer riba berkuasa mereka iaitu Razer Blade 15 yang menurut Razer ia adalah komputer riba pertama di dunia yang menggunakan rekaan papan kekunci optikal.

Razer menyatakan, papan kekunci optikal dapat memberikan tindak balas yang lebih baik kepada pengguna ketika menaip dari segi ketepatan dan kepantasan berbanding rekaan papan kekunci konvensional.

Razer menjelaskan "Under every key, an infrared light beam is used to detect when a key is pressed (actuation), allowing for much greater precision and speed versus conventional laptop keyboards."

Kapsyen: Papan kekunci optikal Razer Blade 15 juga dilengkapi ciri N-Key Rollover (NKRO) dengan anti-ghosting.


Setiap kekunci Razer Blade 15 dipasang dengan Razer Chroma RGB yang membolehkan pengguna menetapkan sehingga 16.8 juta warna.

Walaubagaimanapun, hanya bagi model Razer Blade 15 Advanced (USD2,649.00) sahaja yang ditawarkan dengan papan kekunci optikal ini.

Komputer riba berprestasi tinggi terbaru dari Razer ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel® Core™ i7-9750H 2.6GHz generasi ke-9 dengan 6 teras, paparan bersaiz 15.6 inci (FHD 1920x1080) dengan kadar segar 240GHz, cip grafik Intel® UHD Graphics 630 dan NVIDIA® GeForce RTX™ 2070 with Max-Q Design (8GB GDDR6 VRAM, Optimus™ Technology) serta didatangkan dengan kapasiti RAM standad 16GB dan storan pantas bersaiz dari 512GB.

Razer memaklumkan lebih banyak model komputer riba Razer Blade 15 akan ditawarkan sepanjang tahun 2020 nanti.

Razer Blade 15 berharga dari USD1,599.00 sudah pun boleh dibeli menerusi laman rasmi Razer.com. Untuk info lanjut pilihan spesifikasi yang ditawarkan bagi Razer Blade 15, layari laman muka The New Razer Blade 15.

Kapsyen: Razer Blade 15 kini ditawarkan dalam 3 pilihan warna menarik, Classic Black, Quartz Pink dan Mercury White