Kemas kini 5 Disember 2023, 10.01 malam: Maybank kini memaklumkan kredit eMADANI di aplikasi MAE sudah boleh digunakan. Namun, pastikan toggle eMADANI tersedia sebelum pembayaran dibuat, bagi mengelakkan pembayaran ditolak pada baki MAE Wallet.
Kemas kini 5 Disember 2023, 4.20 petang: Dalam perkembangan terbaharu, pengguna MAE disarankan untuk menangguhkan dahulu pembayaran menggunakan kredit eMADANI di aplikasi itu. Rujuk pautan INI untuk maklumat selanjutnya.
Artikel asal: Seperti diketahui, kredit RM100 eMADANI telah pun boleh dituntut bermula 4 Disember 2023. Bagi permohonan yang berjaya, rata-ratanya sudah mula ingin menggunakan kredit tersebut untuk membuat pembelian tertentu.
Namun, timbul pula isu pemohon yang membuat tuntutan melalui MAE gagal menggunakan kredit tersebut untuk melakukan pembayaran di pasar raya, kedai runcit dan sebagainya.
Buat masa ini, belum ada penjelasan rasmi daripada pihak Maybank berhubung perkara berkenaan atau cara yang tepat untuk menggunakan kredit eMADANI di aplikasi MAE.
Akan tetapi, disediakan penyelesaian sementara untuk menggunakan kredit eMADANI di aplikasi MAE, sekurang-kurangnya sehingga artikel ini ditulis.
{suggest}
Penyelesaian bayaran guna kredit eMADANI di MAE
Tidak seperti TNG eWallet yang boleh digunakan secara ‘direct‘, diperhatikan ketika ini penggunaan eMADANI di aplikasi MAE berfungsi seperti ‘cashback’.
Bermakna, MAE Wallet perlu mempunyai baki – sekurang-kurangnya nilai yang ingin dibelanjakan. Lebih mudah, pindahkan RM100 daripada akaun utama atau mana-mana akaun ke MAE Wallet.
Setelah itu, anda boleh melakukan pembayaran dengan klik ikon “eMADANI” dan “Use eMADANI”. Pastikan toggle eMADANI berwarna hijau tersedia dan pembayaran yang dibuat akan ditolak daripada kredit eMADANI.
Dalam erti kata lain, pastikan setiap transaksi yang ingin menggunakan kredit eMADANI tidak melebihi baki yang tersedia dalam MAE Wallet.
Sebagai contoh, jika mahu membuat pembayaran sebanyak RM51 menggunakan kredit eMADANI, MAE Wallet juga perlu mempunyai baki yang tidak kurang daripada itu.
Setelah pembayaran dibuat, ia akan ditolak daripada kredit eMADANI. Sementara baki MAE Wallet tidak terjejas dan akan dikekalkan seperti sebelumnya.
Bagi yang mempunyai akaun Maybank, tetapkan MAE Wallet sebagai “Primary Account” terlebih dahulu. Ia boleh dilakukan di halaman utama dengan klik pada “View All Accounts” > pilih akaun MAE Wallet dan “Set as Primary” di bahagian “Manage”.