Raiz Malaysia kini mengumumkan penutupan operasi menjelang September 2024, dengan menyatakan keputusan untuk beralih keluar dari pasaran negara ini adalah disebabkan oleh peralihan strategik di peringkat kumpulan untuk memfokuskan perniagaannya di Australia.
Susulan pengumuman itu, pastinya menimbulkan beberapa persoalan dalam kalangan pelabur Raiz. Teruskan bacaan lanjut bagi mengetahui beberapa perkara mengenainya.
Bila Raiz akan tutup operasi di Malaysia?
Menurut Raiz, proses penutupan akan dilaksanakan secara berfasa untuk memastikan pengendalian aset pelanggan yang selamat dan cekap, dengan tarikh siap disasarkan pada 30 September 2024.
Apa jadi pada wang dalam akaun Raiz?
Tidak perlu risau, wang pengguna dijaga oleh bank penjaga (Custodian), iaitu CIMB Bank. Raiz menjelaskan wang pengguna tidak boleh disentuh oleh pihaknya danĀ custodian akan tetap menjaganya supaya dapat dikembalikan kepada pelanggan dengan selamat.
Apa yang perlu dilakukan?
Pengguna digalakkan untukĀ mengeluarkan baki akaun dan baki Raiz Kids, jika ada. Pengeluaran boleh dibuat dengan mudah sama ada melalui aplikasi atau laman web Raiz.
Bermula 2 September 2024, pengguna tidak akan dapat lagi membuat pelaburan dan menukar portfolio, kecuali membuat pengeluaran.
Pada 20 September 2024, baki akaun yang masih ada akan dikeluarkan secara automatik dan dimasukkan ke Akaun Pengeluaran yang telah ditetapkan oleh pengguna.
Dah buat pengeluaran tapi duit belum masuk?
Perlu diketahui, proses pengeluaran akan mengambil masa 7 hari bekerja. Pengguna perlu memastikan akaun bank yang sah telah dipautkan (akaun perlu didaftarkan atas nama sendiri).
Sekiranya wang kekal tidak dituntut, ia akan diklasifikasikan sebagai wang tidak dituntut dan akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut.
Ada alternatif lain untuk teruskan pelaburan?
Pengguna boleh memilih untuk meneruskan pelaburan dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Jika bersetuju, nyatakan persetujuan dengan klik “Saya Setuju” dalam e-mel yang dihantar kepada pengguna.
Kemudiannya, pihak Raiz akan berkongsi data – iaitu nama penuh, kad pengenalan, alamat e-mel serta nombor telefon dengan ASNB, dan pengguna akan menerima e-mel daripada ASNB dalam masa 5 hari.
Namun begitu, perlu ambil maklum bahawa akaun ASNB atau baki akaun Raiz tidak akan dipindahkan ke ASNB secara automatik. Sebaliknya, pengguna masih perlu memulakan proses pengeluaran seperti yang telah dimaklumkan.
Apa yang berlaku pada data pengguna?
Raiz akan berhenti menyimpan data atau menghapuskan maklumat pengenalan pengguna apabila pihaknya tidak lagi memerlukan untuk tujuan ini, dan ia tidak diperlukan atas sebab undang-undang atau perniagaan.
Pengguna boleh menghubungi Raiz di talian 03-27146114 atau [email protected] (9.30AM hingga 4.30PM, Isnin hingga Jumaat) jika memerlukan sebarang bantuan.
Untuk lain-lain butiran mengenainya, layari laman rasmi Raiz Malaysia.
{suggest}
Sumber: Raiz Malaysia