PLUS: RFID Masih Lagi Ujian Rintis, Harga Tag Keputusan Mutlak Touch 'n Go

Touch 'n Go telah melaksanakan teknologi RFID pada lebuh raya terpilih melalui projek rintisnya sejak 2017 lagi. Antaranya ialah DUKE, Grandsaga, MEX, KESAS, Besraya, NPE, PLUS dan lain-lain.

Pada tahun 2020, projek rintis ini terus diperluas ke sistem tol terbuka dan tertutup PLUS seluruh negara.

15 Januari 2022, PLUS kemudian memperluas Ujian Rintis Awam RFID di Lebuhraya Utara-Selatan bermula Juru hingga Skudai.

Jelas PLUS, RFID TnG ialah di bawah pihak TnG namun hal seperti operasi lorong tol dan peralatan daripada palang pembaca gantri, kamera ANPR sehingga kepada Pusat Validasi Tol, berada di bawah bidang kuasa PLUS.

Pembayaran tol dengan teknologi RFID ini selaras dengan cita-cita Kerajaan untuk beralih kepada sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tahun-tahun mendatang.


Dengan ini, RFID masih menjadi ujian rintis awam yang bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu seperti penguatkuasaan, pilihan pembayaran, kemudahan pelanggan dan seumpamanya.


Ujar syarikat ini lagi, mereka berharap dapat memperkenalkan RFID untuk penggunaan kenderaan berat melibatkan lori dan bas.

PLUS dalam pada itu mengakui bahawa usaha peralihan ke arah sistem tol MLFF terus berjalan.


Soal harganya pula, PLUS menegaskan bahawa harga tag RFID ini tidak dikenakan atau diputuskan oleh PLUS sebaliknya merupakan budi bicara mutlak Touch 'n Go.
Bermatlamatkan MLFF, Kerajaan telah meneroka pelbagai pilihan teknologi dan merumuskan bahawa RFID adalah pilihan yang paling berpatutan untuk kebanyakan pengguna tempatan, menurut PLUS.


Pun begitu, ke arah mencapai sistem MLFF, teknologi seperti RFID dan/atau teknologi pelengkap lain masih dalam kajian dan perkembangan selanjutnya akan diumumkan oleh Kerajaan.

Sumber: Astro Awani

Baca juga: