Permainan Angry Birds: Isle of Pigs Kini Tiba Di Android

Awal tahun ini, pembangun permainan Angry Birds, Rovio telah membawakan pengalaman baharu untuk permainan klasik mereka dengan mengaplikasikan konsep augmented reality (AR). Angry Birds AR: Isle of Pigs merupakan permainan terkini francais Angry Birds yang cuba membawa pemain berinteraksi dengan dunia luar. Namun ketika itu, permainan tersebut hanya tersedia untuk peranti iOS sahaja.

Akhirnya, setelah 6 bulan menunggu, permainan ini tiba juga di Android. Menggunakan AR, pengguna boleh berjalan mengelilingi struktur untuk mencari kelemahan dan memikirkan strategi di sebalik halangan. Pemain hanya memerlukan satu kawasan yang rata (sama ada meja kecil mahupun ruang sebesar ruang tamu) untuk memainkan permainan ini.



Di sebalik struktur, babi hijau (musuh) boleh bersembunyi dan adakalanya terdapat kotak bom TNT. Jadi, anda digalakkan untuk menyelongkar di sebalik struktur dari pelbagai sudut untuk merungkai rahsia pada setiap tahap permainan. Terdapat 78 tahap untuk dicabar, melalui pelbagai kawasan dari bandar, hutan, gurun dan lain-lain.

Permainan Angry Birds AR: Isle of Pigs boleh mula dimuat turun di Google Play Store untuk peranti yang menyokong Google ARCore. Permainan adalah percuma untuk dipasang tetapi masih juga terdapat mikrotransaksi.