Telefon Android zaman sekarang tak macam dulu-dulu. Dahulu, sistem operasi Android kurang ciri dan fungsi menarik. Disebabkan Android merupakan sistem yang berpandukan sumber terbuka, sesiapa sahaja boleh mencipta satu ‘sistem operasi’ baharu untuk menggantikan sistem operasi sedia ada. Dengan itu, pengguna boleh menikmati ciri, fungsi dan kemaskini tanpa perlu bergantung harap kepada jenama telefon mereka.
Fleksibiliti sebegini membolehkan berbagai-bagai variasi ‘sistem operasi’ tersendiri yang datang dari pelbagai pembangun dinamakan sebagai ‘custom ROM’. Ada pelbagai rupa, pelbagai fungsi, pelbagai pembangun, dan pelbagai pengubahsuaian yang menjadikan pengguna memang tak senang tangan ibarat memilih baju ketika membeli-belah.
Namun semakin lama, Android semakin ‘matang’ dan semakin sarat dengan pelbagai ciri serta fungsi. Apa yang jadi? Pengguna sudah ramai yang meninggalkan dunia ‘custom ROM’ kerana ciri dan fungsi yang dikehendaki sudah ada tanpa perlu lagi menggodek-godek telefon.
Akan tetapi keindahan dunia custom ROM tidak dilupakan, ketika mana euforia berderu laju apabila ‘custom ROM’ yang diingini berjaya dihidupkan tanpa masalah. Melihat animasi ‘custom ROM’ yang didambakan berpusing-pusing sebelum masuk ke dalam sistem operasi tanpa gagal. Kita semua pernah laluinya sebelum ini. Ya, kita.
{suggest}
Sehubungan dengan itu, artikel ini akan berkongsi secara ringkas 5 custom ROM paling popular selama ini yang mungkin anda pernah cuba dan gunakannya. Selain dari mengimbau kenangan lalu tidur lewat malam sementara menunggu custom ROM selesai dimuat turun, artikel ini juga boleh dijadikan sebagai pengetahuan ringkas dunia ‘custom ROM’ untuk generasi baharu pengguna telefon pintar.
“In order to be irreplaceable one must always be different.” — Coco Chanel
1. LineageOS
LineageOS boleh dikatakan sebagai atuk dalam arena ‘custom ROM’. LineageOS sebenarnya adalah merupakan pengganti kepada CyanogenMod, yang mana merupakan antara custom ROM yang terawal dan banyak menginspirasikan pelbagai lagi custom ROM yang lain.
Cerita asalnya, selepas pengenalan HTC Dream pada September 2008, akses ‘root’ telah dijumpai oleh pembangun. Dengan akses ‘root’, ditambah pula dengan fitrah sumber terbuka Android, ia membolehkan isi dalam telefon diubahsuai dan dipasang sesuka hati.
Lama kelamaan, komuniti yang membina dan menjaga Cyanogenmod semakin ramai. Sejak dari itu, ia telah menjadi antara custom ROM paling popular di dunia.
Pada tahun 2016, organisasi di sebalik CyanogenMod iaitu Cyanogen Inc telah mengumumkan mereka akan menghentikan sebarang pembangunan dan menutup infrastruktur projek.
Disebabkan Cyanogen Inc mempunyai hak milik kepada nama Cyanogen, projek asal custom ROM itu telah diubah kepada LineageOS.
LineageOS telah diumumkan pada Disember 2016 dan disambung secara komuniti bukan lagi di bawah organisasi.
Antara ciri-ciri yang diketengahkan oleh LineageOS adalah sokongan tema secara natif, sokongan audio FLAC, CPU ‘overclocking’, butang suis notifikasi, serta peningkatan kelajuan dari segi antaramuka dan prestasi.
LineageOS turut menawarkan ciri sekuriti seperti Privacy Guard yang membolehkan pengguna membenarkan jenis permission untuk setiap aplikasi.
Jika dibandingkan dengan custom ROM lain, LineageOS lebih asas namun begitu, ramai yang memuji prestasinya sangat baik dan lebih yakin untuk digunakan sebagai daily driver berbanding kebanyakan custom ROM lain.
Setakat April 2021, LineageOS telah menyokong sehingga 157 model telefon pintar. Kini ia masih menantikan sama ada sokongan untuk Android 12 berasaskan LineageOS 19.0 akan ada atau tidak.
2. Resurrection Remix
Sementara LineageOS terkenal dengan penawaran custom ROM ringkas, pengguna yang mahukan custom ROM lebih mewah dengan pelbagai fungsi dan berwarna-warni akan mencari pilihan yang lebih mengena. Antara custom ROM paling popular yang berada dalam kategori super customization adalah Resurrection Remix.
Konsep Resurrection Remix adalah mudah. Ia menggabungkan ciri dan fungsi terbaik dari pelbagai custom ROM lain iaitu LineageOS, SlimROM, OmniROM, Remix ROM dan letakkannya dalam satu pakej.
Projek Resurrection Remix bermula pada tahun 2012. Disebabkan ia antara yang terawal menjadi pelopor custom ROM dengan customization melebihi batasan, ia secara tidak langsung pantas mengaut ramai pengguna sehinggakan ia menjadi custom rom yang sangat popular.
Dalam Resurrection Remix, ia mempunyai tetapan khas Resurrection Tools yang bertindak sebagai pusat sehenti pengubahsuaian meliputi pelbagai aspek seperti Status Bar, Quick Settings, Recents, Lock Screen, Animations, Interface, Navigation dan pelbagai lagi.
Bayangkan dalam Status Bar itu sahaja banyak benda boleh diubah seperti jam, stail bar status, logo, notifikasi, ikon sistem, ikon telco, dan macam-macam lagi.
Sehingga kini, lebih dari 200 telefon yang menyokong Resurrection Remix menjadikannya antara custom ROM paling popular dan berpengaruh dalam komuniti custom ROM.
3. Pixel Experience
Bukan semua orang yang memasang custom ROM berpunca dari sifat ingin menggodek-godek dan mengubahsuai segala isi perut telefon mereka.
Ada yang mahu memasang custom ROM disebabkan ‘benci’ dengan rupa serta prestasi antaramuka lama. Yang ini real.
Sebelum-sebelum ini, telefon mampu milik seperti Xiaomi mempunyai perkakas yang hebat. Akan tetapi pengguna tidak boleh lari dari menggunakan MIUI yang pada kebanyakan agak ‘berat’ disebabkan terlalu banyak fungsi. Jika anda tidak gemarkan MIUI tetapi sayangkan perkakas telefon, custom ROM adalah pilihan yang paling tepat.
Salah satu custom ROM yang popular yang menawarkan kelancaran dan kelicinan sistem operasi adalah Pixel Experience.
Ini adalah kerana seperti namanya Pixel Experience memberikan pengalaman penggunaan seperti telefon Google Pixel, yakni tiada lagi bloatware pelik dari jenama sendiri, dan juga lebih sedap mata untuk dilihat.
Disebabkan itu juga, kebanyakan pengguna melaporkan jangka hayat yang lebih lama disebbakan sistem operasi yang lebih ringan dan ringkas. Ini juga salah satu faktor kenapa ramai yang menggunakan Pixel Experience.
Dari segi pengubahsuaian, ia tidak sehebat custom ROM yang lain, tetapi untuk yang lebih memilih prestasi dan keringkasan sistem operasi dari pelbagai fungsi, Pixel Experience sentiasa menjadi pilihan mereka.
Disebabkan Pixel Experience lebih ringkas untuk dibina disebabkan ia berasaskan sistem operasi dari telefon Pixel, ia juga turut menjadi antara custom ROM terawal dilepaskan untuk kebanyakan telefon.
Senang kata, apa yang ada pada Google Pixel terbaharu, ia juga pasti turut ada pada Pixel Experience – jika perkakas menyokong fungsi itulah.
Apa yang paling menarik juga, Pixel Experience didatangkan khas dengan kamera Google iaitu Gcam, menjadikan ia antara custom ROM dengan kamera yang cantik secara lalainya.
Selain itu, disebabkan ia merupakan custom ROM berpandukan Pixel, ia juga turut menerima ciri Google Photos unlimited – sesuatu yang sangat dibanggakan oleh pengguna telefon Google Pixel.
4. Dirty Unicorn
Bagi sesetengah orang, Pixel Experience ini mungkin agak asas dari segi pengubahsuaian. Jadi, jika mereka mahukan antaramuka seringkas Pixel pada masa yang sama tetap kempunan ciri pengubahsuaian yang bersepah, Dirty Unicorn merupakan penyelesaiannya.
Pendek kata, Dirty Unicorn adalah merupakan custom ROM Pixel dengan steroid.
Menariknya, Dirty Unicorn juga merupakan antara custom ROM yang sudah lama bertapak dalam komuniti – tahun 2012.
Memfokuskan kepada ciri spesifik Google Pixel seperti Active Edge dan Motion Sense (Pixel sebelum-sebelum ini), Dirty Unicorn juga turut mengetengahkan inovasi terbaharu iaitu Pulse, Smart bar, dan Fling.
Fling adalah merupakan kaedah navigasi menggunakan gestur yang melicinkan penggunaan telefon. Pulse pula merupakan visual grafik pada bawah skrin memfokuskankepada audio dan pemain media. Manakala Smart bar pula membolehkan pengguna mengubahsuai butang navigasi – termasuk meletakkan mana-mana ikon, tema, dan juga imej tertentu pilihan pengguna.
Selain dari itu, Dirty Unicorn turut membawakan ciri pengubahsuaian khusus iaitu Dirty Tweak dengan konfigurasi ubahsuai seperti Resurrection Tool dalam Resurrection Remix.
Pada Mac 2021, pasukan pembangun Dirty Unicorn telah mengumumkan ‘kematian’ custom ROM mereka.
Menurut mereka, ia berpunca dari kesukaran bekerja ketika pandemik dan juga perubahan komitmen dalam kehidupan yang menyebabkan pengakhiran Dirty Unicorn.
Sepanjang kewujudan Dirty Unicorn yang agak lama, ia berjaya mengumpul peminat tegar yang ramai dan kehilangannya kini pasti terpahat dalam ingatan sebagai salah satu custom ROM otai satu ketika dahulu.
5. Paranoid Android
Satu lagi custom ROM yang unik bukan sahaja dari segi ROMnya, bahkan cerita dan latar belakangnya sendiri.
Paranoid Android merupakan custom ROM yang berkonsepkan dan bertujuan untuk memperhalusi sistem yang sedia ada, meningkatkan lagi kecantikan Android dalam pada masa sama mengikut falsafah rekaan yang ditetapkan oleh Google untuk Android sendiri.
Mudahnya, Paranoid Android merupakan custom ROM ringkas yang menawarkan pengalaman guna yang lancar tetapi tidak terlalu serabut dengan fungsi yang bersepah.
Paranoid Android juga turut diasaskan pada awal tahun 2012 – era Android Ice Cream Sandwich.
Antara inovasi yang dipopularkan oleh Paranoid Android adalah ciri navigasi Pie dan Halo. Ciri ini begitu disukai ramai sehinggakan banyak custom ROM lain mula mengimplementasikan perkara yang sama.
Pie merupakan navigasi menggantikan butang skrin sedia ada menjadikan skrin digunakan secara penuh. Halo pula adalah buih apung yang membolehkan pengguna melihat notifikasi tanpa meninggalkan skrin.
Pada tahun 2015, beberapa orang penting dalam Paranoid Android telah dilamar oleh OnePlus untuk membangunkan sistem operasi OnePlus baharu iaitu OxygenOS.
Disebabkan itu, projek pembangunan untuk kemaskini Paranoid Android terlewat sehinggakan salah seorang pembangun mereka, Andre Saddler memuat naik kenyataan “Paranoid Android is dead. Ever since Oneplus hiring its done.” pada akaun Google Plusnya (RIP G+).
Bergerak ke hadapan, Paranoid Android hadir dengan pasukan baharu pada 2016 dengan mengetengahkan fungsi baharu seperti Floating Window, Immersive Mode, Theme Engine, dan lain-lain.
Paranoid Android juga popular dengan sokongan Substratum iaitu enjin pengubahsuai warna dan tema khusus untuk pengguna ‘ketagih tukar itu-ini’.
Banyak lagi Custom ROM Lain
Walau tidak dinafikan sememangnya banyak custom ROM lain seperti Havoc OS, Nitrogen OS, DotOS, OmniROM, dan pelbagai lagi nama pelik-pelik.
5 custom ROM yang dinyatakan itu bagi saya sudah cukup popular memandangkan ia begitu disebut-sebut oleh komuniti custom ROM Android.
Melihat sekarang, custom ROM semakin dilupakan disebabkan sistem operasi dari jenama sudah cukup sarat dengan fungsi dan juga lebih ringan berbanding zaman tidak matang mereka.
Ini membuatkan pembangun custom ROM sukar untuk mengkaji ciri dan fungsi baharu menjadikan kebanyakan custom ROM kekeringan idea dan inovasi baharu.
Dari segi lainnnya, aspek DIY yang dibawa oleh custom ROM sangat diingati oleh pengguna setaraf membina/memasang PC baharu ataupun menukar blok Ysuku.
Mungkin custom ROM semakin kurang dibincangkan, tetapi apa yang pasti memori tidak tidur malam menunggu telefon untuk boot masuk dengan custom ROM baharu tidak akan dilupakan begitu sahaja.