5 Sebab Kenapa Apple Selalu Lambat Perkenalkan Ciri-Ciri Menarik Yang Android Sudah Ada

Dunia tidak lagi 'aman' sejak telefon iPhone dan Android diperkenalkan. Berbeza pendirian dan fitrah, satunya berkonsepkan sumber tertutup (iOS) manakala satu lagi sumber terbuka (Android).

Walaupun jauh berbeza tetapi tetap ada juga persamaan fungsi dan ciri yang dirasakan hanya sekadar tiru meniru antara satu sama lain.

Namun, kaedah pelaksanaan fungsi dan ciri  menjadi pemisah utama antara kedua sistem operasi ini.

Kapsyen: Benarkah dunia sudah tidak 'aman' sejak kewujudan sistem operasi ini?


Kebanyakan masa, telefon Android memuatkan teknologi lebih awal berbanding iPhone. Sebut sahaja, dari paparan AMOLED, 5G, sistem kamera sudut lebar, telefoto, potret fotografi, mod gelap, 4G, 3G, pembesar suara stereo, penstabilan kamera OIS, pengecasan tanpa wayar, piawaian kalis air IP68, eSIM dan berbagai lagi.

Itu baru sahaja sebut dari segi keperkakasan, belum lagi pula cerita dari aspek perisian yang lambat disertakan pada iPhone seperti mod picture-in-picture (PIP), widget, kebolehan untuk menetapkan aplikasi lalai, mod jimat bateri, tap-to-wake, lift-to-wake, gambar latar belakang boleh ubahsuai, aplikasi dikemaskini secara automatik, sokongan papan kekunci pihak ketiga, dan lain-lain.

Pendek kata, iPhone memang agak perlahan dalam memuatkan ciri dan fungsi terbaharu berbanding pada telefon Android. Ini menjadikan iPhone sering dijadikan bahan jenaka kerana lembab dan ketinggalan pada mata peminat tegar Android dan teknologi secara keseluruhan.

Kapsyen: iPhone 12 Pro harga RM5K tetapi hanya skrin 60Hz?


Adakah benar? Adakah Apple malas untuk mengeluarkan fungsi dan ciri terbaru serta hanya meniru jenama-jenama Android?

1. Tunggu Teknologi Matang Dahulu, Kemudian Baru Guna


Ini mungkin alasan atau faktor penyebab utama yang sering dijumpai dan diperkatakan.

Walaupun alasan ini tidak terpakai kepada kesemua ciri dan fungsi pada iPhone yang lambat disertakan, masih ada elemen kebenaran disebaliknya.

Seperti contoh teknologi pengecaman muka Face ID pada iPhone X. Jenama-jenama Android sebelum itu sudah mesra dengan pengecaman muka Face Unlock yang berasaskan sistem optikal.

Kapsyen: Face ID pada iPhone X


Disebabkan sistem dan perkakas yang kompleks pada Face ID iPhone X, ia menjadikannya antara sistem sekuriti berasaskan biometrik yang sukar untuk digodam.

Dibandingkan dengan Face Unlock, jenama Android lebih mudah untuk dipecah masuk menggunakan gambar sahaja.

Kapsyen: Face Unlock yang boleh dipecah masuk hanya dengan gambar / Mashable


Walaupun iPhone bukan yang pertama menyertakan fungsi pengecaman muka, sistemnya adalah lebih selamat dan diyakini berbanding kebanyakan model Android yang lain.

Contoh lain adalah, tahun 2018, Royole FlexPai menjadi telefon pertama boleh-lipat di dunia. Tahun seterusnya Huawei Mate X, Samsung Galaxy Fold, dan Motorola RAZR.

Kapsyen: Huawei Mate X


Tahun 2020 pula generasi telefon boleh-lipat lebih berkualiti pula dilancarkan. Kali ini lebih banyak model seperti Samsung Galaxy Z Fold 2, Samsung Galaxy Z Flip, Microsoft Surface Duo, Moto Razr 5G (2020), Huawei Mate Xs, serta TCL Trifold.

Kapsyen: Samsung Galaxy Z Fold 2


Kapsyen: Moto Razr 5G (2020)


Banyaknya syarikat sudah mencuba telefon boleh-lipat, tetapi mana wakil dari Apple? Adakah Apple membutakan diri melihat semua ini?

Tidak, kerana jika anda mengikuti arena teknologi, sekarang kita sudah mendengar ura-ura bahawa iPhone boleh-lipat mungkin seawal 2022.

Kapsyen: Bayangan iPhone boleh-lipat akan datang


Apa yang terjadi adalah pasaran boleh-lipat merupakan satu kategori yang baharu yang mungkin atau tidak mungkin pengguna mahu.

Generasi pertama telefon boleh-lipat hadir dengan pelbagai masalah. Namun apabila model kedua dari syarikat yang sama dilancarkan, ia jauh lebih baik dengan penambahbaikan.

Kapsyen: Samsung Galaxy Z Flip dengan skrin yang bermasalah


Dan yang paling utama, harga jualannya adalah lebih murah.

Sudah tentu Apple belajar dari kesilapan model boleh-lipat generasi pertama ini pada masa yang sama melihat komponen, perkakas, dan bahan binaan cukup matang dalam teknologi boleh-lipat.

Ini juga termasuk dari segi mengurangkan risiko menjadi pencebur teknologi yang pertama. Mengapa mahu berbazir berbilion jika sudah ada syarikat lain yang tolong bazirkan apabila pasaran tidak menyukai fungsi atau ciri itu?

2. Ciri dan Fungsi Yang Konsisten Antara Generasi


Apple memperkenalkan iPhone X pada 2017 dengan rekaan takuk yang besar. Sehinggalah tahun 2020, Apple masih lagi kekal menggunakan rekaan takuk yang sama, tiada berubah langsung saiznya melalui siri iPhone 12.

Kapsyen: Rupa takuk iPhone 12 yang kekal sama biarpun sudah 4 tahun lamanya


Anda rasa mungkin Apple 'malas' untuk mengecilkan rekaan dan sengaja mengitar semula saiz takuk yang sama sehingga 4 tahun berturut-turut.

Baik. Dari segi perspektif Apple, takuk itu memuatkan sistem Face ID yang sukar ditiru oleh jenama lain. Pada Face ID ini juga banyak ciri dan fungsi yang berkait seperti Animoji, Apple Pay, dan juga melihat kata laluan yang disimpan dalam iPhone.

Kapsyen: Animoji pada sistem Face ID


Disebabkan itu, agak sukar jika Apple mahu membuang takuk sepenuhnya dengan sistem yang kompleks ini kerana fungsi Face ID yang banyak digunakan secara seharian.

Pun begitu, model lain seperti Huawei Mate 40 Pro turut mempunyai sistem yang hampir sama dengan Face ID Apple, namun sistem modulnya lebih kecil.

Kapsyen: Huawei Mate 40 Pro dengan modul imbasan muka lebih kecil dari Face ID


Jika diimbas kembali pun, rekaan utama iPhone berubah dalam jangka masa 3-4 tahun dan bukannya 1-2 tahun. Contohnya:

  • rekaan iPhone 5 sehingga iPhone SE (2012-2016)

  • rekaan iPhone 6 sehingga iPhone SE (2014-2020)

  • rekaan iPhone XR sehingga sekarang (2018-?)


Kapsyen: Rekaan iPhone SE 2020 yang dikitar semula sudah 7 tahun


Apabila anda menjengah kepada jenama lain seperti Samsung, Galaxy S8 memperkenalkan pengimbas mata iris, dan kemudiannya dibuang apabila Galaxy S10 dilancarkan.

Kapsyen: Pengimbas mata iris pada Galaxy S8 yang kini tiada pada model Samsung terkini


Ia dilaksanakan kerana Samsung mahu membuang bezel agar lebih nipis. Ini sudah tentu tidak konsisten dari segi penawaran teknologi dan rekaan.

Kapsyen: Samsung Galaxy S10 yang dibuang pengimbas mata iris / Stuff


Namun dari segi kelebihannya, Galaxy S10 lebih seksi disebabkan bezel yang lebih nipis dari S9 dan S8 sebelumnya.

Berbeza dengan Apple, mereka mungkin mahu pengguna lebih mesra dengan rekaan mereka sebelum mengubahnya secara keseluruhan. Ini bermakna tahun ini pun belum tentu jika iPhone 13 akan mempunyai takuk yang lebih kecil.

Dari segi kelebihan, ia menjadikan rekaan iPhone lebih ikonik dan mudah dikenali oleh pengguna dalam jangka masa panjang.

Namun untuk pengguna yang mahukan teknologi baharu, sudah tentu perkara sebegini membuatkan mereka merasa kecewa kerana rekaan yang masih dikitar semula beberapa tahun lamanya.

3. Tiada Pesaing Yang Sama, Hanya Mereka Semata-Mata


Apple hidup dalam dunia sendiri di mana mereka tiada pesaing lain yang juga membuat iOS.

Berbeza dengan jenama Android, terdapat pelbagai jenama di pasaran. Malah dalam sesuatu jenama itu juga mempunyai sub-jenama lain.

Kapsyen: Banyak sangat model Android? Apa cara untuk jadi unik?


Ini menjadikan sesuatu model perlu melakukan 'sesuatu' jika mahu menyerlah dalam lautan model Android lain.

Dari sinilah kita dapat melihat telefon Android berlumba-lumba menyertakan pelbagai fungsi dan ciri menarik semata-mata mahu menjual kepada pembeli mereka.

Disebabkan terlalu banyak model yang dikeluarkan, lama-kelamaan semakin banyak ciri baharu yang menampakkan seolah-olah iPhone ketinggalan dengan ciri yang lama.

iPhone adalah unik dimana tiada telefon lain seumpamanya. Jika ada model Android yang hadir dengan teknologi dron sementara iPhone tidak, pengguna iOS tegar tidak semudah itu untuk beralih menggunakan Android semata-mata ia mempunyai teknologi baharu.

4. Apple Sasarkan Jualan Produk Yang Banyak


Apabila Apple menghasilkan sebuah model iPhone, ia menyasarkan jumlah jualan yang sangat tinggi iaitu dalam konteks beratus-ratus juta unit.

Sebagai contoh, siri iPhone 6 dijual sebanyak 220 juta unit, ataupun iPhone XR sebanyak 77.4 juta unit.

Kapsyen: Siri iPhone 6 antara model telefon paling banyak terjual sepanjang zaman


Jumlah yang tersangat banyak ini sudah semestinya datang dari bekalan sumber, bahan mentah, dan komponen yang juga banyak.

Jika sesuatu teknologi itu sudah cukup matang dari segi fungsi dan ada permintaan pengguna, namun pada masa yang sama sukar untuk memperolehi komponennya, Apple memang tak akan memuatkannya dalam iPhone mereka.

Seperti contoh, sebab utama iPhone lewat menyertakan paparan OLED adalah disebabkan tiada pembekal yang mampu memberikan piawaian panel dan juga permintaan tinggi Apple.

Hanya pada tahun 2017, baru iPhone dengan paparan OLED muncul memberikan petunjuk bahawa pembekal bahan dan komponen mencukupi untuk mereka memuatkan teknologi ini.

Kapsyen: Hanya tahun 2017 baru kita dapat iPhone dengan paparan OLED


Jika tidak, sudah tentu kita dapat melihat paparan OLED yang cantik lebih awal lagi sebelum tahun 2017.

Apa akan jadi jika Apple sengaja menjual teknologi, atau ciri baharu tetapi komponen atau sumber untuk mewujudkannya masih belum sedia?

Saya rasa saya tidak perlu jawab kerana jawapannya sudah jelas boleh dilihat seperti siri kad grafik Nvidia RTX 30 dan juga AMD RX 6000 yang sampai sekarang tidak ada stok jualannya.

Kapsyen: Nvidia RTX 30, memang berkuasa, tapi tak ada stok, apa gunanya


 

5. Konsep Idea Satu Peranti Untuk Semua Golongan


iPhone adalah telefon yang dijual untuk pelbagai umur dan juga golongan. Orang bisnes boleh guna, gamer pun pakai, kanak-kanak, remaja, malah orang tua pun ramai juga yang menggunakan iPhone sebagai alat komunikasi utama merela.

Untuk merealisasikan idea satu peranti untuk semua golongan ini, Apple perlu kekalkan identitinya sebagai sebuah telefon pintar yang menyeimbangkan antara kemajuan teknologi dan juga kesederhanaan.

Kapsyen: iPhone untuk semua golongan umur


Jika terlalu banyak fungsi dan ciri, sudah tentu ia sukar untuk digunakan kerana keluk pembelajaran yang tinggi. Salah satu contohnya adalah mod manual pada aplikasi kamera iPhone yang sehingga sekarang masih lagi tidak ditawarkan secara terbina.

Anda mungkin melihat dalam aplikasi kamera Xiaomi atau Samsung yang begitu banyak mod fotografi dan videografi. Mungkin ada antara kita yang sangat mendambakan pelbagai mod kamera ini untuk digunakan atau dicuba, tetapi hakikatnya untuk kebanyakan pengguna, mereka tidak menyentuh pun pelbagai mod kamera ini.

Kapsyen: Antaramuka kamera salah sebuah jenama Android yang nampak menakutkan untuk pengguna biasa


Ini adalah mengapa untuk sesetengah fungsi atau teknologi, Apple tidak sertakan pada iPhone mereka supaya mahu meringkaskan dan memudahkan penggunaan telefon mereka.

Apple tidak mahu 'menakut-nakutkan' pengguna mereka dengan perkara yang kompleks atau teknologi tinggi kerana ini bukan sasaran pembeli mereka.

Kapsyen: Ada kalanya kurangnya fungsi adalah lebih baik


Hampir kebanyakan masa, Apple menjual atau menyertakan implikasi teknologi lebih daripada hanya sekadar spesifikasi.

Seperti contoh, Android mungkin yang pertama menyertakan NFC. Tetapi iPhone tidak memuatkan NFC semata-mata hanya sekadar spesifikasi sebaliknya memasarkannya sebagai sistem dan fungsi Apple Pay.

Kapsyen: Apple Pay pada iPhone


Contoh lain, Android lebih awal dalam teknologi penghantaran fail dan media menggunakan Bluetooth, tetapi Apple menyempurnakan perkara ini dengan AirDrop yang lebih mesra digunakan dan lebih pantas.

Kapsyen: AirDrop lebih mudah untuk digunakan


Serta yang paling terbaharu adalah widget, memang ciri ini digunakan secara meluas pada telefon Android. Akan tetapi apabila tiba sampai masanya iPhone menyertakan widget pada iOS 14, ia lebih kemas, teratur dan tidak menyerabutkan seperti pada telefon Android.

Kesimpulan


Anda semua kena faham bahawa 5 sebab yang dinyatakan oleh penulis bukanlah alasan hakiki dari Apple ataupun fakta termaktub sebagaimana yang Apple fikirkan.

Ia hanyalah sebagai pemikiran logikal semata-mata berdasarkan bukti-bukti dan pemerhatian yang telah wujud pada arena teknologi sekarang ini.

Tetapi jika anda sebagai sebuah syarikat yang jika sertakan fungsi dan ciri yang lambat pun orang tetap beli, mengapa perlu bazir duit untuk jadi yang pertama, bukan?

Selagi hanya iPhone yang menjalankan iOS, lambat atau awal, akan tetap ada si pembelinya yang tidak mahu menggunakan telefon Android.

Tambahan lagi, sekarang ini kita sudah menyaksikan pelbagai ciri dan fungsi Android yang dahulunya eksklusif, kini sudah ada di iPhone.

Apple pun bukanlah sentiasa lambat dalam menggapai inovasi teknologi terbaharu. Mereka ada portfolio cip terpantas dalam industri mudah-alih, antara ekosistem terbaik disebabkan kesalinghubungan antara peranti, rakaman video terbaik untuk telefon pintar, dan pelbagai lagi.

Ada kalanya menjadi yang pertama itu bukanlah sesuatu yang patut dikejar, sebaliknya penyampaian teknologi itu. Agar lebih ramai boleh gunakan dan memanfaatkannya.

Akhir kata, mana-mana syarikat sudah tentu mementingkan duit sebagai sumber pendapatan mereka. Selagi tindakan tersebut membantu syarikat tersebut menambahkan lagi pendapatan supaya lebih kaya, pasti itu yang akan mereka kekalkan.

Jenama Android terpaksa membuat inovasi baharu lebih pantas disebabkan mereka mahu menjual dan menyerlah antara satu sama lain. iPhone? Sebagaimana yang dinyatakan, tiada keperluan untuk mereka menjadi yang pertama. Mungkin buat masa ini.

Rujukan: Quora