Perkara Yang Anda Perlu Tahu Berkenaan Kemaskini PUBG Mobile 0.7.0

Pemain permainan battle royale yang sedang popular ketika ini, PUBG Mobile sudah boleh mula memuat-turun kemaskini terbaru bagi permainan tersebut di peranti iOS dan Android mereka bermula semalam. Beberapa pembaharuan menarik telah dibawa masuk untuk kemaskini kini berkenaan.

Pembaharuan terbesar yang dibawa Tencent Games pada kali ini ialah satu mod terbaru, War Mode. Dalam mod berkenaan, pemain akan berperang dalam satu lingkungan permainan yang lebih kecil dari biasa, lebih kurang sama dengan mod Arcade yang sedia ada.



Namun, apa yang menarik bagi War Mode ini ialah pemain akan terjun dari kapal terbang bersama satu senjata yang akan diberikan secara rawak. Pemain juga akan hidup semula tanpa had selepas dibunuh dan pemenang akan ditentukan dengan berlumba untuk menjadi yang pertama mencapai sasaran jumlah 'pembunuhan' yang telah ditetapkan.

Anda juga cuma boleh bermain secara duo atau skuad sahaja dalam mod ini. Selain daripada mod baru tersebut, kemaskini kali ini turut membawa beberapa senjata dan aksesori yang baru. Di antaranya ialah fungsi clan, senjata sniper SLR, skop tahap tiga dan enam, antaramuka lobi yang baru, dan banyak lagi.



Tambahan pula, kemaskini terbaru ini membolehkan anda untuk mengubah kulit kereta, motor, bot, beg galas dan helmet mengikut kesesuaian pemain. Namun ianya hanya untuk paparan di Menu sahaja dan bukan untuk dibawa ke dalam permainan.

Seperti yang diberitahu pada awal artikel, kemaskini ini sudah boleh mula dimuat turun bermula semalam(24 Julai) secara berperingkat. Namun, semasa artikel ini ditulis, terdapat beberapa fungsi baru yang masih belum dapat digunakan seperti War mode dan mengubahsuaian kulit yang dinyatakan sebentar tadi.

Sumber