Dalam era globalisasi ini, meniti dari bibir ke bibir tentang kehadiran Apple Pay di Malaysia. Tapi, apakah ia tuan bibir-bibir ini tahu benar tentang Apple Pay atau sekadar teruja kerana mereka menggunakan produk Apple?
Puan-puan dan tuan-tuan, sini kami kongsikan apa sebenarnya Apple Pay sehingga ramai yang teruja.
Buat masa ini, hanya kad debit/kredit Maybank, kad kredit Ambank dan Starandard Chartered yang boleh dimasukkan ke dalam Wallet.
Apa benda Apple Pay ini?
Apple Pay ialah sebuah perkhidmatan ditawarkan Apple di mana pengguna boleh membayar di kedai dengan tap atau sentuh peranti Apple mereka pada terminal.
Senang cerita, kalau kita selalu swipe atau tap kad pada terminal, maka kali ini gantikannya dengan iPhone atau Apple Watch.
Ya, tap macam tu saja, sama macam payWave tetapi ditambah dengan ciri keselamatan seperti Face ID dan Touch ID. Mudah, bukan?
Itulah yang menjadi kegilaan sesetengah pengguna. Mereka tidak perlu keluarkan kad malah dompet langsung. Bawa telefon saja ke kedai.
Macam mana ia berfungsi?
Sebenarnya kemudahan ini dapat digunakan kerana anda telah memasukkkan data kad debit atau kredit anda dalam aplikasi Wallet.
Dengan sama menggunakan teknologi NFC seperti kad, iPhone atau peranti Apple tadi berfungsi sebagai pengganti kad.
Bukan hanya di kedai fizikal, tetapi platform dalam talian juga menyokong pembayaran Apple Pay. Contohnya, Shopee sudah menyenaraikan Apple Pay sebagai salah satu kaedah pembayaran.
Macam mana nak guna?
Sebelum terus tap iPhone atau Apple Watch anda ke terminal tanpa sebab atau menunjuk-nunjuk, terlebih dahulu masukkan maklumat kad debit/kredit anda ke dalam aplikasi Wallet.
Aplikasi Wallet ini sejak azali telah dipasang (installed) dalam iPhone. Ia juga tidak boleh dinyahpasang (uninstall).
Jadi buka saja aplikasi Wallet ini daripada iPhone anda.
Kemudian tekan tanda tambah + di hujung atas kanan. Tekan ‘Continue’.
Imbas kad debit/kredit anda seperti arahan diberikan atau masukkan maklumat secara manual dengan menaip.
Pilih bagaimana mahu mengesahkan kepada bank bahawa anda menambah kad pada Wallet.
Anda akan menerima arahan daripada pihak bank seperti melalui SMS atau panggilan untuk mengesahkan pautan antara kad dan peranti. Ikut saja arahan.
Selesai.
Tambahan, jika anda ada Apple Watch, maka ia aplikasi akan bertanya jika anda mahu menambah pada Watch juga.
Masuk ke Wallet dalam aplikasi Watch pula untuk sahkan sekali lagi.
Nak bayar pakai Apple Pay?
Mudah saja. Pada bila-bila masa, tekan butang kuasa (power button) dua kali.
Telefon akan imbas wajah (Face ID) atau jari anda (Touch ID) untuk sahkan anda yang melakukan pembayaran.
Dalam masa 60 saat, letakkan atau tap telefon pada terminal pembayaran.
Kalau pada Apple Watch pula, sama juga, tekan butang kuasa (bukan crown button) dua kali dan sedia diletakkan pada terminal.
Selamatkah bayar dengan Apple Pay?
Tidak seperti imbasan payWave yang tidak memerlukan kod PIN, Apple Pay masih memerlukan pengesahan daripada anda. Contohnya, melalui Face ID dan Touch ID.
Menurut Apple, syarikat itu tidak simpan mahupun berkongsi nombor kad anda dalam pelayan mereka atau pada pekedai.
Selain itu, mereka juga tidak menyimpan maklumat transaksi yang boleh dijejakkan pada anda.
Semasa membayar di kedai fizikal, Apple atau peranti anda tidak pun memberikan nombor kad anda yang sebenar pada pekedai. Apa yang mereka terima hanyalah nama anda, alamat e-mel dan alamat.
Untuk Apple Watch pula, tidak perlu masukkan PIN atau sebagainya memandangkan anda sendiri yang sedang memakainya di tangan.
Jika ditanggalkan, barulah Apple Watch meminta masukkan passcode untuk masuk ke menu dan sebagainya. Jadi, pencuri tidak boleh menggunakannya untuk membayar melalui Apple Pay.
Peranti saya boleh guna untuk Apple Pay?
Peranti yang boleh digunakan ialah iPhone 6 hingga yang terkini, semua Apple Watch, semua iPad yang sokong Face ID atau Touch ID, Mac dengan Touch ID, Mac yang diperkenal selepas 2012 yang sokong Apple Pay dengan iPhone atau Apple Watch dan Mac dengan cip silikon Apple yang disambungkan dengan Magic Keyboard yang ada Touch ID.
Relevankah Apple Pay waktu sekarang?
Rata-rata komen pengikut Wiser berpendapat mereka lebih selesa dengan mengimbas kod QR berbanding Apple Pay. Tapi, ini mungkin kerana mereka sendiri belum pernah merasai pengalaman membayar dengan Apple Pay.
Pada waktu Malaysia sudah memperluas DuitNow dengan 1 kod QR untuk semua platform, maka sebenarnya Apple Pay di Malaysia tidaklah terlalu memudahkan transaksi harian kita.
Ada juga antara kita selesa memisahkan telefon dan fungsi lain contohnya tidak mahu menyentuh telefon pada terminal kerana khuatir faktor keselamatan. Justeru, mereka lebih selesa dengan kaedah tanpa tunai lain seperti mengimbas kod QR atau memasukkan PIN kad.
Apa-apapun, ia berita baik untuk semua pengguna Apple kerana mempunyai lebih banyak pilihan melakukan pembayaran tanpa tunai.