PerantiSiswa: Galaxy Tab A8 Jadi Pilihan, Tambah 4 Kategori Layak Mohon

Tan Sri Annuar Musa mengumumkan tambahan kategori untuk pelajar B40 yang layak memohon bantuan PerantiSiswa.

Empat kategori yang layak memohon bermula hari ini hingga 30 September 2022 ialah:

  • Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

  • Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM)

  • Semester 1 dan 2 Tingkatan 6 di bawah KPM

  • Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.


Selain itu, turut diumumkan bahawa Samsung Galaxy Tab A8 LTE menjadi tablet pilihan kerajaan untuk diberikan pada pelajar.

Tablet ini hadir dengan panel skrin bersaiz 10.5 inci, bateri sebesar 7,040mAh. Ia akan mula diagihkan bulan ini.

Jika anda semak tablet ini di laman rasmi Samsung, hanya varian WiFi sahaja dijual di Malaysia dan ia tidak menepati spesifikasi minimum diumumkan menteri sebelum ini.

Hal ini kerana ia dimuatkan dengan RAM 3GB dan storan 32GB manakala spesifikasi minimum PerantiSiswa pula RAM 4GB dengan storan 64GB.

Sebelum ini, bantuan PerantiSiswa ini terhad untuk pelajar B40 yang menuntut dalam program sepenuh masa diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di bawah kendalian KPT, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah KPM dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Sumber: BERNAMA, Parlimen