Penggodam Dedah Maklumat Peribadi Ribuan Pegawai Penguatkuasa Di Amerika Syarikat

Penggodam adalah seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang perkomputeran. Namun, mereka seringkali menyalahguna kemahiran yang dimiliki.

Itulah yang berlaku apabila sekumpulan penggodam telah berjaya memperolehi data dan maklumat peribadi berkaitan ribuan penguatkuasa serta ejen kerajaan Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Mereka kemudiannya mendedahkannya dengan menempatkan fail-fail yang mengandungi maklumat ini di laman sesawang mereka sendir untuk dimuat-turun oleh orang lain.

Menurut laporan TechCrunch, salah seorang daripada penggodam terlibat telah berhubung dengan mereka.



Penggodam berkenaan mendakwa mereka telah menceroboh masuk tiga laman sesawang yang berkaitan dengan FBI National Academy Association untuk mendapatkan maklumat yang diperolehi.

Antara maklumat yang didedahkan oleh mereka ialah nama, alamat e-mel, nombor telefon serta alamat surat menyurat mangsa.

Malah, mereka turut memperakui bahawa pendedahan maklumat ini boleh mengancam nyawa pegawai yang terlibat.

Katanya lagi, mereka melakukannya hanya untuk mendapatkan "pengalaman dan duit". Beliau turut mendakwa pasukannya memiliki lebih daripada 1 juta data melibatkan pegawai dan penjawat awam dan agensi kerajaan bersedia untuk diproses sebelum dijual.

Walaubagaimanapun, pihak TechCrunch gagal mendapatkan maklumbalas daripada FBI berkenaan perkara ini setakat ini.

 

Sumber: TechCrunch