Penggemar 'Mobile Gaming' Sudah Boleh Dapatkan Peranti Black Shark Bermula Minggu Ini

Penggemar permainan video mudah alih di Malaysia kini sudah boleh mula mendapatkan peranti telefon pintar yang ditunggu-tunggu iaitu Black Shark. Black Shark adalah sebuah syarikat yang berada di bawah kelolaan Xiaomi. Peranti ini menggunakan jenama Black Shark sendiri dan bukan Xiaomi bagi memudahkan penerimaan global kepada peranti ini, seperti kami laporkan sebelum ini.



Bagi peminat peranti ini di Malaysia, anda akan berpeluang untuk mendapatkan peranti ini bermula pada minggu ini. Namun harus diingatkan bahawa peranti yang dijual ini adalah set import atau AP set. Baru-baru ini syarikat penjual telefon pintar, DirectD telah mengumumkan yang mereka akan mula menjual Black Shark ini pada minggu ini. Dan bermula semalam, peranti ini sudah pun tersedia di gerai mereka.



Harga jualan bagi variasi 6GB RAM+64GB storan dengan harga RM 2,499 manakala RM 2,899 bagi variasi 8GB RAM+128GB storan. Pembeli akan menerima satu tahun jaminan daripada DirectD dan satu set Black Shark Gamepad percuma.

Sebelum ini, syarikat penjual terkenal Mobile2Go telah membuka pra-tempahan untuk peranti Black Shark pada laman Facebook mereka. Mereka juga menjangkakan bahawa peranti tersebut akan tersedia pada hari ini, 26 April dan mereka yang telah menempah boleh mendapatkan peranti idaman mereka pada tarikh tersebut.



Dalam kiriman terbaru mereka semalam, Mobile2Go telah mengumumkan bahawa peranti Black Shark 8GB RAM+128GB ROM sudah tersedia di gerai, manakala bagi variasi 6GB+64GB ROM pula dijangka tiba hari ini. Kedua-dua peranti tersebut akan turut dijual pada harga yang sama iaitu RM 2,499 (64GB) dan RM 2,899  (128GB).

Setakat ini belum ada apa-apa berita daripada pihak Xiaomi berkenaan tarikh ketibaan set original Black Shark ke pasaran tempatan.

Sumber