PDRM Lancar Talian WhatsApp Untuk Mudahkan Laporan Jenayah Komersial Dibuat

Aktiviti perniagaan dan komersial hari ini bukan sahaja dijalankan secara fizikal di kedai-kedai atau jualan secara langsung, malah juga melalui platform digital seperti media-media sosial.

Perniagaan atas talian menjadi semakin popular kerana ia lebih mudah dan menjimatkan bagi peniaga mahupun pembeli. Akan tetapi, aktiviti ini turut menjadi tempat mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Atas alasan seperti itu, Polis Diraja Malaysia(PDRM) baru-baru ini telah melancarkan talian Commercial Crime Investigation Department(CCID) InfolineĀ bagi memudahkan orang ramai membuat laporan mengenai jenayah komersial.



Nombor talian yang digunapakai ialah 013-211 1222 dan hanya boleh menerima SMS dan kiriman WhatsApp sahaja serta tidak berfungsi untuk panggilan suara.

Talian ini aktif setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam. Selain membuat aduan, talian ini boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat atau pertanyaan berkaitan jenayah komersial.

Antara jenayah komersial yang sering berlaku di negara ini ialah Macau Scam, penipuan jual beli, tipu pinjaman tidak wujud serta pemalsuan dokumen.

Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku kes di mana penjual di salah sebuah gedung beli-belah atas talian telah menghantar tasbih kepada kepada pembeli dan bukannya barangan yang telah dipesan.

Diharapkan orang ramai dapat menggunakan kemudahan ini untuk bersama-sama membendung masalah jenayah komersial yang sedang berleluasa ketika ini.

Sumber: Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)