Mungkin masih ramai antara kita yang masih belum tahu mengenai aplikasi mudah alih myTNB. Selain dapat mengurangkan penggunaan kertas, ia juga dapat memudahkan kehidupan seharian dalam menguruskan akaun TNB. Pelbagai fungsi disediakan yang membolehkan anda mengatur dan membayar bil pada bila-bila masa, tidak kira di mana anda berada. Selain itu, ia mempunyai ciri-ciri dan rupa baharu yang lebih mesra pengguna bagi memberikan kelancaran pada penggunaan.
Apa itu myTNB?
Aplikasi mudah alih myTNB adalah perkhidmatan digital untuk menguruskan akaun elektrik TNB. Selain itu, anda boleh mengurus akaun TNB tanpa mengira lokasi dan masa.
Apa fungsi yang terdapat dalam aplikasi ini?
Ciri-ciri termasuk papan pemuka yang lebih interaktif dengan pandangan akaun berganda, paparan terperinci mengenai penggunaan elektrik 6 bulan yang lalu, melihat notifikasi dan promosi terkini, menghantar maklum balas, membuat pembayaran secara langsung dalam aplikasi yang lebih cepat dengan pilihan untuk menyimpan maklumat kad kredit atau debit dengan selamat, boleh mengetahui ringkasan bil dan bayaran terdahulu dengan lebih mudah dan efisien. Selain itu, anda juga boleh melihat jumlah bil yang telah dicapai dan aliran penggunaan untuk tempoh pengebilan semasa jika anda adalah pengguna meter pintar.
Bagaimana untuk mendaftar?
Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.
Bagi pendaftaran untuk kali pertama, hanya perlu tekan daftar dan isi maklumat anda. Kemudian, masukkan PIN yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas. Semua akaun akan disenaraikan secara automatik jika ia sepadan dengan kad pengenalan yang didaftarkan dengan TNB. Pengguna hanya perlu memasukkan nama samaran bagi setiap akaun.
Namun, bagi nombor akaun pemilik rumah yang tidak disenaraikan, ia perlu dilakukan secara manual dengan memasukkan maklumat akaun dan menambah akaun tersebut.
Bagi bukan pemilik rumah juga boleh menambah akaun dengan mengikuti langkah di atas.
Bagi memudahkan pengguna menambah akaun, ia juga boleh dilakukan dengan cara mengimbas kod bar yang tertera pada bil elektrik mereka dan seterusnya meletakkan nama samaran akaun tersebut.
Bagaimana untuk membayar bil?
Bil elektrik boleh dibayar melalui perbankan atas talian atau lebih cepat dengan menyimpan maklumat kad kredit atau debit.
Melalui aplikasi ini juga, pengguna boleh mencari Kedai Tenaga yang berhampiran.