Oppo Lancarkan Bank Kuasa SuperVOOC Pertama, Hadir Dengan Tema Pikachu

Pengecasan pantas semakin menjadi daya tarikan bagi sesebuah model telefon pintar hari ini. Namakan sahaja, OnePlus Dash Charge, Huawei SuperCharge, Apple Fast Charge dan terbaru, Oppo SuperVOOC semuanya menawarkan pengecasan yang lebih pantas kepada pengguna.

Bercakap mengenainya, Oppo baru-baru ini telah membawa pengecasan SuperVOOC-nya ke bank kuasa pula apabila melancarkan satu bank kuasa 10,000mAh SuperVOOC. Menariknya, bank kuasa berkenaan didatangkan dengan tema Pikachu.

Kapsyen: Kredit: Mydrivers


Kebanyakan daripada kita pasti mengetahui yang Pikachu mempunyai kuasa elektrik kuat yang mampu menumpaskan musuh-musuhnya. Maka, Oppo melihat Pikachu amat sesuai untuk digunakan sebagai ikon untuk menghiasi bank kuasa ini, tambahan pula dengan rupanya yang comel.

Bank kuasa ini boleh digunakan secara dua hala dan mampu mengecas peranti yang menyokong SuperVOOC sehingga pada kelajuan 50W (10V/5A). Peranti yang dicas menggunakan bank kuasa ini juga akan memperlihatkan animasi pengecasan berbeza pada lock screen mereka.

Bagaimanapun, Oppo masih belum mengumumkan samada akan memasarkan bank kuasa ini di peringkat antarabangsa atau tidak. Bank kuasa edisi khas Pikachu 10,000mAh ini ditawarkan pada harga RMB 399(~RM 240) di pasaran China.