OnePlus 6 Dengan Reka Bentuk Premium Diperkenalkan Secara Rasmi Di London

Setelah kita didedahkan sedikit demi sedikit berkenaan ciri dan fungsinya, akhirnya pada 16 Mei yang lalu, penantian peminat Android dan peranti OnePlus khususnya terhenti apabila OnePlus 6 telah dilancarkan dalam satu majlis di London. Peranti berkenaan adalah sebuah peranti dalam kelas perdana dari OnePlus.

Sebelum ini, OnePlus biasanya akan memperkenalkan peranti mereka pada bulan Jun setiap tahun, namun tidak kali ini. Hadir dengan reputasi dan populariti yang tinggi, OnePlus berharap peranti ini akan dapat menambat hati peminat OnePlus sedia ada dan dapat menarik minat pengguna baru.



Menggunakan slogan 'The Speed You Need', OnePlus menjanjikan kepantasan dan kelancaran dalam penggunaan OnePlus 6 ini. Dengan itu, mereka telah mempersiapkan OnePlus 6 dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 dan disokong oleh unit pemprosesan grafik Adreno 630.

OnePlus telah mengumumkan dua pilihan variasi memori bagi peranti ini iaitu 6GB RAM dan 8GB RAM serta ruang simpanan sehingga 256GB. Bagi memudahkan pengguna, peranti ini turut menyokong fungsi Dash Charge yang membolehkan anda memiliki kuasa bateri sehingga 24 jam penggunaan dengan pengecasan selama 30 minit sahaja.



Berkenaan reka bentuknya pula, peranti ini memiliki satu reka bentuk yang elegan. Hadir dengan rekaan takuk seperti kebanyakkan peranti Android masa kini, paparan skrin OnePlus 6 adalah sebesar 6.28 inci dengan nisbah paparan 19:9. Peranti ini juga akan menggunakan antaramuka Oxygen OS 5.1 yang berlandaskan Android 8.1 Oreo.

Dari segi kamera pula, OnePlus 6 akan menggunakan dwi-kamera utama dengan menggabungkan lensa 16 MP (f/1.7) + 20 MP (f/1.7) yang menyokong ciri optimal image stabilization(OIS) serta fungi super slow motion. Manakala bagi kamera hadapan pula, ia akan menggunapakai lensa 16 MP (f/2.0) yang mempunyai ciri auto HDR. Peranti ini juga boleh merakan video pada resolusi 4K 60fps.



Antara ciri dan fungsi lain yang turut terdapat pada OnePlus 6 ini adalah ia merupakan sebuah peranti kalis percikan air, menggunakan skrin jenis Gorilla Glass 5 serta menyokong fungsi dua sim-Nano. Selain itu, peranti ini akan dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,300 mAh.



OnePlus 6 akan hadir dengan tiga pilihan warna dimana setiap warna tersebut mewakili variasi memorinya yang tersendiri. Mereka ialah warna Mirror Black(6GB RAM/64GB ROM dan 8GB RAM/128GB ROM), Silky White dan Midnight Black (8GB RAM/128GB ROM) manakala untuk memori 8GB RAM/256GB ROM hanya untuk warna Midnight Black sahaja.

Pada masa ini masih belum dapat dipastikan berkenaan tarikh OnePlus 6 untuk memasuki pasaran Malaysia namun kami menjangkakan kita akan dapat mengetahui maklumat tentangnya pada masa terdekat.

Sumber