Observatori Negara Langkawi Berjaya Merakam Fenomena Halo Matahari




Agensi Angkasa Malaysia memaklumkan pada 10 Mac 2022 jam 1:40 petang, Observatori Negara Langkawi telah berjaya merakam satu fenomena unik yang dikenali sebagai Halo Matahari.

Fenomena Halo Matahari itu berlaku apabila bayangan pelangi seakan-akan gegelung cincin dapat dilihat terbentuk di sekeliling Matahari.

Fenomena optik ini berlaku disebabkan cahaya Matahari telah dibiaskan dan dipantulkan ketika melalui hablur ais berbentuk heksagon yang terdapat di dalam awan sirus (sejenis kumpulan awan yang berada pada ketinggian antara 5 hingga 13 kilometer dari permukaan Bumi yang terdiri sepenuhnya daripada ais dan kelihatan panjang dan nipis) dan menghasilkan suatu lingkaran cahaya yang mengelilingi Matahari.



Bahagian dalam lingkaran berwarna merah manakala bahagian luar lingkaran pula berwarna biru atau ungu menurut urutan warna pelangi.

Fenomena ini juga dikenali sebagai halo 22 darjah (22-degree halo) disebabkan saiz sudut (angular size) gegelung yang terbentuk adalah sekitar 22 darjah.

Fenomena Halo adalah lingkaran cahaya seakan-akan pelangi yang mengelilingi sesuatu objek yang bercahaya, terutamanya Matahari dan Bulan ketika cuaca berawan.

Ia merupakan sejenis fenomena optikal dan lebih kerap terjadi berbanding dengan kejadian pelangi.

Kebanyakan Halo terjadi disebabkan oleh kristal ais dalam awan sirus (cirrus) yang sejuk yang terletak pada ketinggian 5 hingga 10 km di lapisan troposfera atas (lapisan atmosfera yang hampir sekali dengan Bumi, yang terletak di antara 6 hingga 10 km).

Bentuk dan orientasi kristal-kristal ini menentukan bentuk halo yang terjadi.

Sumber: MYSA

Baca juga: