Nokia 6.1 VS Nokia 6.1 Plus: Mana Lebih Berbaloi Untuk Dimiliki?

Nokia, satu jenama dari Finland yang diberi nyawa baru oleh HMD Global selepas terjurus ke dalam lembah kegelapan sejak beberapa tahun yang lalu. Kini, Nokia boleh dikatakan semakin serius dalam usaha mereka kembali dalam kancah industri, terutama dalam persaingan peranti kelas pertengahan.

Ia dibuktikan apabila Nokia secara terus menerus cuba menghasilkan model versi naiktaraf bagi peranti-peranti mereka di kelas berkenaan. Antaranya, Nokia telah melancarkan model Nokia 6.1 Plus pada Julai lalu sebagai naiktaraf untuk Nokia 6.1 yang diperkenalkan pada Januari.

Oleh itu, pada kali ini kami akan bawa anda untuk menilai, sejauh mana naiktaraf yang ada pada Nokia 6.1 Plus berbanding Nokia 6.1. Sebelum itu, jom kita baca dulu serba sedikit pasal dua model Nokia ini.

NOKIA 6.1

Nokia 6.1 telah dilancarkan pada awal tahun lalu sebagai model naiktaraf untuk Nokia 6(2017). Nokia 6 juga adalah merupakan siri Nokia pertama yang menggunakan sistem operasi Android. Nokia 6.1 ini hadir dengan skrin IPS LCD 5.5-inci FHD dengan rekaan bingkai yang agak tebal di bahagian dahi dan dagu peranti.

Nokia juga menyediakan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas peranti ini selain menyokong pengecasan pantas 18W melalui bicu USB Type-C . Nokia 6.1 dijana dengan bateri berkapasiti 3,000mAh.

Untuk spesifikasi dalaman pula, model ini didatangkan dengan piliha 3GB/4GB RAM, ruangan simpanan dalaman  32GB/64GB serta sokongan kad mikroSD yang melalui slot SIM 2. Ia juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 630, jauh lebih baik berbanding Snapdragon 430 yang digunapakai oleh model Nokia 6 terdahulu.

Manakala dari segi kamera pula, Nokia 6.1 disokong oleh kamera utama lensa tunggal 16MP dengan bukaan aperture f/2.0. Lensa 8MP dengan aperture yang sama pula digunakan sebagai kamera untuk menangkap imej swafoto.

NOKIA 6.1 PLUS

Sebagai peranti naiktaraf, sudah semestinya kita mengharapkan peranti yang jauh lebih baik berbanding Nokia 6.1. Bermula dengan paparannya, model ini mempunyai panel skrin 0.3-inci lebih besar(5.8-inci) dengan resolusi FHD+. Tambahan pula, Nokia 6.1 Plus ini muncul sebagai model pertama Nokia yang hadir dengan rekaan takuk bagi membolehkan lebih banyak bahagian hadapan peranti digunakan sebagai panel paparan.

Peranti ini juga masih lagi mengekalkan bicu audio 3.5mm untuk tujuan pendengaran muzik. Kapasiti baterinya pula cuma sedikit lebih besar berbanding Nokia 6.1 apabila menggunakan bateri 3,060mAh. Selain itu, ia menyokong fungsi pengecasan pantas yang lebih baik iaitu  Quick Charge 3.0.

Nokia 6.1 Plus ini pula hanya didatangkan dengan pilihan 4GB RAM dan simpanan dalaman  64GB diperingkat global. Model 3GB dan 6GB pula hanya ditawarkan di pasaran China sahaja. Qualcomm Snapdragon 636 pula telah dipilih sebagai cip pemprosesan untuk telefon ini.

Model ini juga telah diberikan kelebihan untuk menggunakan dua lensa(16MP f/2.0 + 5MP f/2.4) sebagai kamera utama manakala kamera swafoto pula dilengkapi dengan lensa 16MP f/2.0.

Okay, sekarang mari kita ke bahagian perbandingan kedua-dua peranti ini pula. Melihat kepada spesifikasi kedua-dua peranti, sebenarnya agak kurang adil untuk membandingkan dua model ini. Oleh itu, suka kami ingatkan perbandingan ini hanyalah untuk melihat sejauh mana “naiktaraf” yang dibawakan pada Nokia 6.1 Plus jika dibezakan dengan Nokia 6.1.

PRESTASI PENGGUNAAN

Dalam menilai prestasi penggunaan kedua-dua peranti ini, kami telah mencuba untuk membuka seberapa banyak aplikasi dalam satu-satu masa bagi melihat sejauh mana pengurusan RAM pada model-model ini dapat berfungsi dengan baik.

Keputusannya, Nokia 6.1 telah berjaya membuka sebanyak 9 aplikasi di belakang tabir sebelum mula melihatkan kesan lagging tetapi di tahap minimal. Untuk Nokia 6.1 Plus pula, kami telah membuka sehingga 11 aplikasi namun masih belum menunjukkan sebarang masalah.

Selepas itu, kami cuba bermain dua permainan video iaitu Asphalt 8 dan PUBG Mobile pada kedua-duanya. Tidak banyak perbezaan di antara kedua-duanya ketika bermain Asphalt 8, namun PUBG Mobile berjaya di mainkan pada grafik Medium pada Nokia 6.1 Plus berbanding Low pada Nokia 6.1.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, tiada perbezaan ketara di antara kedua-duanya. Mungkin faktor penggunaan Android One juga menyumbang kepada perkara ini.

KEUPAYAAN KAMERA

Spesifikasi kamera boleh dianggap sebagai perbezaan paling ketara yang ada pada dua model keluaran Nokia ini. Nokia 6.1 Plus sepatutnya dapat mengambil gambar yang jauh lebih baik. Selepas diuji, hasil tangkapan gambar menggunakan dua peranti ini adalah seperti berikut :

  • NOKIA 6.1
  • NOKIA 6.1 Plus

Jika dilihat daripada beberapa sampel gambar di atas, dapat dilihat yang kualiti gambar yang diambil menggunakan Nokia 6.1 Plus sedikit lebih baik berbanding Nokia 6.1.

Walaubagaimanapun kamera kedua-dua telefon pintar ini bukanlah yang terbaik, namun jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain dalam kelasnya, keduanya tidaklah mengecewakan.

KETAHANAN BATERI

Perbezaan yang kecil di antara kapasiti bateri kedua-dua model ini menyebabkan perbandingan daya tahan bateri ini lebih menarik untuk diadakan. Nokia 6.1 dan 6.1 Plus telah berjaya menempuhi sehari penuh dengan penggunaan secara normal tanpa masalah.

Tetapi selepas diuji secara lebih keras dengan bermain games, menonton video dan mengakses laman sosial, kami dapati Nokia 6.1 tahan lebih lama berbanding Nokia 6.1 Plus. Menonton video dengan definisi tertinggi pada Nokia 6.1 akan mengurangkan bateri sebanyak 22%, manakala 28% pada Nokia 6.1 Plus.

Dari segi pengecasan pula, Nokia 6.1 mengambil masa kira-kira 2 jam 5 minit untuk pengecasan penuh, dengan sejam pengecasan mampu memberi bekalan kuasa pada tahap 40%.

Untuk Nokia 6.1 Plus pula, ia sebenarnya menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Akan tetapi, ia tidak dibekalkan dari dalam kotak belian oleh pihak Nokia.

Mengecas penuh menggunakan alat pengecasan yang disediakan dalam kotak, Nokia 6.1 Plus ini mengambil masa sehingga 1 jam 48 minit untuk pengecasan penuh.

Namun, selepas menggunakan alat penngecasan pantas QC3.0 dari jenama lain, ia hanya mengambil masa sekitar 1 jam 22 minit untuk mengecas penuh peranti ini.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, Nokia 6.1 dan 6.1 Plus ini tidak mempunyai beza yang ketara. Menepati status sebagai peranti naiktaraf, semestinya Nokia 6.1 Plus ini adalah lebih baik berbanding Nokia 6.1.

Dengan harga semasa di laman Shopee sekitar RM 999(Nokia 6.1) dan RM 1,040(Nokia 6.1 Plus), pada pendapat kami, adalah berbaloi untuk anda memiliki Nokia 6.1 Plus berbanding Nokia 6.1.

Alasannya mudah, ia menawarkan cip pemprosesan yang lebih baik, kamera yang lebih berkualiti serta reka bentuk panel paparan yang lebih terkini. Tambahan pula, perbezaan harga antara kedua-dua peranti ini tidak terlampau jauh.

Namun, mungkin ada diantara anda yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan saya. Jadi seperti biasa, kongsikan pandangan atau lebih baik,  pengalaman anda menggunakan salah satu daripada peranti ini bersama kami di ruang komen.

 

Amir Zakwan

Amir Zakwan

Add comment

Langgan Wiser.my

Langgan artikel melalui email dan terima notifikasi setiap kali artikel baru dikeluarkan

Hubungi Kami

03 8686 5408