ASUS Zenfone 8 Membawakan Kelainan, Tapi Tak Seperti Yang Kita Semua Jangka
Dalam arus permodenan telefon pintar terutamanya yang berpaksikan sistem Android, kita boleh lihat kebanyakannya lebih terarah kepada rekaan skrin bersaiz besar.
Sehinggakan ia meracuni pemikiran kita seolah-olah semakin besar skrin, semakin berbaloi sesebuah telefon pintar itu.
Skrin Besar Membawa Mudarat
Akan tetapi tidak semua pengguna mahukan telefon bertubuh gergasi. Tidak semua mahukan skrin yang boleh membawa mudarat sekiranya jatuh ke atas muka ketika sedang asyik menonton video Bangman sebelum tidur.
Saiz skrin yang besar juga secara logiknya lebih memenatkan mata… secara logiknya.
Malah, telefon besar lebih cenderung untuk gelongsor dari poket lalu jatuh dan retak.
ASUS melawan arus, seakan-akan tidak mempedulikan strategi skrin besar yang dibawa oleh jenama lain, menunjukkan betapa ASUS adalah jenama yang kita harus beri pujian, berani membawa kelainan.
Baca juga- https://wiser.my/siri-asus-zenfone-8-akan-masuk-malaysia-28-mei-ini
Kecil Bukan Sebarang Kecil, Kecil-Kecil Cili Padi
Zenfone 8 merupakan -pada ketika ini, telefon pintar android paling kecil dan paling berkuasa di pasaran. Hadir dengan ukuran skrin 5.9 inci dengan ukuran 148 x 68.5 x 8.9 mm seberat 169 gram, peranti ini sangat ‘ngam-ngam’ ditelapak tangan.
Ia seumpama ROG Phone 5- telefon ‘gaming’ paling garang di dunia, dikecilkan dan diringkaskan supaya menjadi satu peranti comel yang sama ganasnya.
Hal ini mengingatkan saya kepada karektor Majin Bu gemuk bertukar ke Majin Bu kecil dalam cerita kartun Dragon Ball.
Nampak seperti peranti kanak-kanak tetapi dalamannya cukup berkuasa
Spesis Yang Sukar Ditemui, Hampir Pupus
Zenfone 8 tanpa segan silu memperagakan cip pemprosesan terpantas Snapdragon 888 di dalam tubuh badannya yang kecil ini menjadikkanya sejenis spesis yang sukar untuk didapati.
Saiz Zenfone 8 ini berada di antara iPhone 12 Mini dan iPhone 12. iPhone 12 Mini yang memiliki skrin 5.4 inci gagal teruk di pasaran dek kerana terlalu melampau kecilnya.
Jadi saya dapat lihat Zenfone 8 adalah peranti yang sangat sesuai untuk penggemar telefon kompak.
Akhir-akhir ini, hanya ada beberapa model Android sahaja yang memiliki sifat ‘kerdil’ ini contohnya Google Pixel 4A tetapi malang, cip pemprosesan tahap ‘sayur’ pula digunakan.
Namun, dengan saiz yang kecil ini, sudah semestinya ia mendatangkan mudarat memandangkan tenaga batinnya yang tinggi bernafsu kuda.
Cip pemprosesan yang hebat akan berkerja dengan lebih kuat, maka haba yang dihasilkan juga lebih banyak. Sangat menarik untuk melihat bagaimana ASUS menangani masalah ini.
ASUS, saya tabik hormat!
Ini juga merupakan titik tolak kembalinya siri zenfone ke pasaran Malaysia setelah 2 tahun mendiamkan diri di persada tanah air.
Siri Zenfone pada saya melengkapkan ekosistem telefon pintar dengan meletakkanya sebaris dengan flagship bajet lain yang pada ketika ini di dipenuhi dengan jenama realme dan Xiaomi.
Sekembalinya siri Zenfone- tidak lama lagi giliran HONOR pula, semestinya bakal memeriahkan kembali suasana persaingan seteru seperti tahun-tahun sebelum ini.
ASUS juga mengambil keputusan untuk menruskan legasi kamera flip mereka menerusi model abangnya Zenfone 8 Flip walaupun kamera berputar masih sukar untuk mendapat tempat di hati pengguna tanah air.
Anda boleh baca tentang spesifikasi penuh peranti ini melalui pautan dibawah
Baca juga- https://wiser.my/asus-zenfone-8-diperkenal-telefon-flagship-bersaiz-kompak
Saya pada ketika ini sedang menggunakan Zenfone 8 sebagai peranti harian dalam mempersiapkan diri untuk pembentangan pendapat tentang peranti ‘petite’ ini dalam segmen ‘Review’ yang akan saya keluarkan pada hujung minggu ini.
Jika ada apa-apa yang harus saya beri perhatian, anda boleh tinggalkan komen di mana-mana platform media sosial kami.