Saudara-saudari yang dihormati sekalian, saya sedar sudah ramai yang sedia maklum serba-serbi berkenaan barisan iPhone 13 yang telah diperkenalkan. Boleh baca artikel yang ditulis oleh Amsyar berkenaan spesifikasi iPhone 13 Pro dan Pro Max jika anda baru keluar dari gua.
Maka dengan itu, saya rasa tidak perlu lagi menyentuh tentang spesifikasi dan penawaran baru yang ditawarkan kerana kita pun tahu hebatnya sebuah iPhone bukan pada spesifikasi perkakasnya. Jadi saya akan menceritakan pengalaman saya selama sebulan menggunakan iPhone 13 Pro Max, tentang apa yang saya suka dan apa yang saya kurang suka tentang peranti ini.
Spesifikasi
- Skrin: 6.7 inci OLED Super Retina XDR display, ProMotion 120Hz
- Dimensi: (160.8 x 78.1 x 7.65)mm, 238g
- Cipset: Apple A15 Bionic
- Memori: 6GB RAM + 512GB Storan
- Kamera Belakang: 12MP ƒ/2.8 telefoto, 12MP ƒ/1.5 utama, 12MP ƒ/1.8 ultra lebar (120 darjah),
- Kamera Swafoto: 12MP ƒ/2.2 swafoto
- Perisian: iOS 15
- Bateri: 4352 mAh (20w)
Rekaan Masih Sama
Seperti kebiasaan, barisan iPhone 13 masih lagi mengekalkan rekaan yang sama. Bagi saya ini bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana kita tahu Apple memang gemarkan keseragaman antara peranti mereka. Lihat sahaja rekaan iPad, Macbook malah Apple Watch, kesemuanya mempunyai satu rekaan yang menyerupai antara satu sama lain.
Mungkin dengan menyeragamkan rekaan peranti mereka sedikit sebanyak membuatkan pengguna rasa selesa apabila melompat-lompat dari iPhone ke iPad atau Macbook. Seperti masakan emak, membuatkan kita rasa seperti berada di kampung halaman. Ini bukan hanya dari segi rekaan luaran tetapi juga dari segi antara muka iOS, iPad OS dan MacOS, ketiga-tiganya memberikan pengalaman yang konsisten, sehinggakan Apple membawakan rekaan skrin bertakuk dalam usaha untuk menghayalkan pengguna yang berada di dalam ekosistem mereka. Oleh kerana itu, amat sukar untuk kita lihat mangsa yang terjerumus, keluar daripada dunia Apple.
Tetapi percayalah, rekaan skrin bertakuk pada Macbook 2021 yang baru ini akan menjadi ikutan lain- Sila simpan tilikan ini untuk rujukan di masa akan datang.
Tidak Banyak Pembaharuan
Setiap tahun kita boleh lihat, Apple hanya membawakan hanya sedikit sahaja pembaharuan pada setiap peranti mereka. Ada sesetengah menggunakan hujah Apple hanya akan meletakkan fungsi yang sudah ‘matang’ bukan semata-mata mahu menjadi yang pertama. Ada juga yang mengatakan Apple ini suka meniru Android dan kedekut. Kedua-duanya hujah ini ada betulnya. Tetapi pada saya, ada sebab mengapa Apple jarang memberikan perubahan ketara kepada peranti baru mereka.
Hal ini adalah disebabkan Apple sangat mementingkan kelangsungan hidup setiap peranti selama 5 tahun, dan ia terbukti janji 5 tahun yang diberikan mereka sentiasa ditunaikan. Lihat sahaja bagaimana masih ramai yang menggunakan iPhone 7 Plus tanpa ada masalah besar. Disini jelas, perubahan baru yang terlalu drastik membuatkan iPhone-iPhone lama tidak dapat merasai baju raya baru bersama ahli2 keluarga mereka yang lain.
Perubahan yang terlalu drastik juga akan memeningkan kepala setiap pembangun aplikasi untuk memberikan kemaskini yang ideal untuk setiap model iPhone sebelumnya. Ini sedikit sebanyak turut menjaga perasan dan hati pengguna iPhone lama. Secara psikologinya, Apple sangat pentingkan nilai kesetiaan dari pengguna.
Perkara ini jarang kita lihat pada pengeluar Android dimana setiap peranti baru dikeluarkan membawakan fungsi dan rekaan untuk menarik perhatian pembeli. Perkara ini bukanlah sesuatu yang buruk, tetapi bagaimana dengan pengguna yang telah membeli model lama setahun yang lepas? Dengan sistem operasi dan antara muka baru, pengguna terpaksa berbelanja setidak-tidaknya setiap dua tahun untuk mendapatkan pengalaman yang sempurna dengan peranti Android.
Tahun Baru, Kamera Baru
Saya rasa tak perlu sentuh mengapa iPhone masih menggunakan kamera 12MP yang sama malah saya juga membayangkan anda semua sudah sedia maklum berkenaan spesifikasi kamera yang ditawarkan kerana KAMERA lah faktor utama kalau anda nak upgrade.
Macam makcik-makcik kepoh, nak tahu anak siapa lagi hebat adalah melalui perbandingan, baru nampak sikitkan dekat mana bezanya.
Melalui saiz sensor lebih besar untuk lensa utamanya dari f/1.6 sebelum ini ditambahbaik kepada f/1.5, ia memberikan imej yang lebih cerah, julat dinamik lebih luas serta baik dan mengikut mata saya ini, white balance lebih seimbang, contrast dan shadow lebih pekat, dan efek HDR biru langit pun tak terlalu berlebihan, biasa-biasa sahaja dia bagi.
Untuk lensa ultra lebar juga berbanding aperture f/2.4 ke f/1.8 mempamerkan perbezaan yang agak ketara, lebih jelas dan terang terutamanya waktu malam, rasa lebih snappy dan lebih tajam.
Untuk telefoto pun kita boleh nampak ia diperbaiki dari segi kualiti imej menjadi lebih tajam, kurang noise dan lebih rapat dengan zoom 3x berbanding 2.5x sebelum ini.
Portrait masih lagi sama, potongan subjek pada bahagian rambut masih tidak kemas. Dan sekali imbas, tona kulit lebih kurang kekuningan dan lebih pinky.
Perlukah Upgrade ke iPhone 13?
Jadi untuk pengguna iPhone 11 jika ditanya, perlukah anda menaik taraf ke iPhone 13? Jawapan saya mudah. Tidak perlu. Tunggu sahaja iPhone 15 nanti, baru anda fikirkan semula.
Ya memang best kalau ada pengimbas cap jari tambah-tambah pula dengan gaya hidup bertopeng sekarang ni memang menyusahkan untuk membuka peranti dengan hanya bergantung pada Face ID. Apa Apple buat adalah menggunakan Apple Watch sebagai kunci kedua dimana memudahkan pemakai membuka iPhone
Tetapi walaupun dengan Apple Watch, sehingga kini saya masih bergelut dengan isu ni dan seringkali saya terpaksa menggunakan kata laluan. Pada saya ia adalah sesuatu kelemahan yang agak ketara buat pengguna iPhone dan harapnya mesej saya ini sampai ke Cuppertino sana..insyallah
Mungkin ramai yang mempersoalkan harga sampai 7 ribu, tapi tak ada apa yang baru pun. Skrin 120Hz tu Android dah lama pakai.
Ya betul, memang Android kelas pertengahan pun dah ada skrin 120Hz ni dan dalam dunia Android benda ni dah lama sangat dah. Tapi skrin 120Hz pada peranti Android sangat berbeza dengan apa yang diketengahkan oleh line up iPhone 13 Pro melalui ProMotion Display.
Skrin ProMotion 120Hz ini dia menyesuaikan dirinya mengikut berapa pantas anda swipe atau scroll dan Apple melaksanakan fungsi ini dengan sangat baik.
Apabila saya melompat ke aplikasi yang masih belum menyokong 120Hz, saya tidak langsung rasa perbezaan apabila ia menurun ke 60Hz maka pada satu tahap, saya sendiri tak tahu, ini 60Hz ke 120Hz ni?
Maka apabila saya berpindah ke iPhone 12 lama saya, hal berpindah semula dari 120Hz ke 60Hz bukan sesuatu yang saya peduli sangat sebab memang saya langsung tak terfikir. Berbeza dengan kebanyakkan peranti Android, dimana apabila saya dah guna 120Hz, agak sukar untuk berpatah balik ke peranti 60Hz
Jadi disini timbul persoalan, kalau macam tu, perlu ke beli Pro kalau takde rasa beza sangat?