Netflix Akan Kenakan Caj Tambahan Untuk Mereka Yang Berkongsi Akaun

Seperti mana-mana akaun digital lain, jika seseorang mempunyai kata laluan sesebuah akaun, maka dia dapat mengaksesnya walau di mana lokasinya. Mungkin dengan ciri lain seperti pengesahan dua faktor (two-factor authentication), maka perkara ini lebih rumit atau langsung gagal.

Terdahulu, kami berkongsi laporan tentang cubaan Netflix dalam mengekang pengguna daripada berkongsi akaun secara tidak rasmi.

Netflix hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengenakan caj tambahan bagi akaun Netflix yang dikongsi di luar isi rumah iaitu mereka yang tidak tinggal bersama.

Menurut laman FAQ Netflix, akaun Netflix adalah untuk orang yang tinggal bersama dalam satu isi rumah. Satu isi rumah ini ialah isi rumah Netflix dan dikaitkan dengan peranti pemilik akaun utama dan peranti yang digunakan oleh orang lain yang tinggal bersama dalam satu isi rumah Netflix.

Bagaimana Netflix mengesan isi rumah? Untuk ini, Netflix menggunakan maklumat seperti alamat IP, ID peranti dan aktiviti akaun daripada peranti yang mendaftar masuk ke akaun Netflix.

Jadi, untuk memudahkan perkongsian dengan mereka di luar isi rumah, pengguna Standard dan Premium dibenarkan menambah sehingga 2 subakaun baharu untuk mereka di luar isi rumah di mana 2 subakaun ini akan aktif dengan profil dan kata laluan sendiri.

Untuk langganan dengan subakaun ini, pengguna perlu membayar lebih tetapi tidak semahal mencipta akaun utama baharu, jelas Netflix. Di Chile, pengguna akan dicaj CLP2,380 (RM12.50), $2.99 (RM12.50) di Costra Rica dan PEN7.9 (RM8.90) di Peru.

Di samping itu, ahli akaun Basic, Standard dan Premium juga boleh mengizinkan pengguna lain memindah maklumat profil ke akaun baharu atau subakaun. Ini termasuklah ialah sejarah tontonan, My List dan saranan tontotan.

Kedua-dua ciri ini akan diuji di 3 negara terlebih dahulu iaitu Chile, Costa Rica dan Peru.

Sumber: Netflix

Baca juga: