Kerajaan Tak Dapat Kawal Kandungan 'Liar' Di Netflix

Semasa persidangan di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diajukan soalan yang mana apakah langkah kerajaan dalam mengawal kandungan (seksual, LGBT dan sebagainya) yang ditawarkan perkhidmatan penstriman di Malaysia.

Bagi menjawab persoalan itu, menterinya Annuar Musa mengatakan mereka sedar bahawa kerajaan sukar untuk mengawal sepenuhnya kandungan yang ada dalam perkhidmatan penstriman seperti Netflix.

Buat masa ini, undang-undang hanya tertakluk kepada pihak yang mendaftar di negara ini. Sementara perkhidmatan internet masih tiada mekanisme.

Tambahnya, pihak mereka hanya boleh berbincang dan membuat permohonan dengan pihak penyedia perkhidmatan sahaja. Malah, isu sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga dihadapi negara lain.

Namun demikian, Annuar berkata bahawa pengguna boleh lakukan kawalan kendiri. Hal ini kerana Netflix sendiri ada kaedah dalam mengelaskan kandungan yang sesuai dengan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Selain itu, langkah lain yang boleh dilakukan adalah ibu bapa perlu menggunakan kata laluan untuk melindungi anak-anak mereka daripada menonton filem atau program yang tidak sesuai.

Dalam erti kata lain, tidak ada alat dalam mengawal kandungan yang diberikan. Sebaliknya perlu mengambil inisiatif sendiri.

Di samping itu, perkhidmatan penstriman seperti Netflix ini juga tidak termasuk dalam kategori-kategori tayangan dilesen di bawah akta sedia ada kerana penstriman merupakan kategori over-the-top (OTT) yang berpangkalan di luar negara dan menggunakan akses internet.

Dalam pada itu, Annuar Musa turut memberitahu setakat September 2021, lebih daripada 4000 laman pornografi telah diambil tindakan dan disekat oleh MCMC.

Sumber: bernama

Baca juga: