Netflix Naikkan Harga Untuk Semua Pelan

Netflix sekali lagi telah naikkan harga bagi perkhidmatan tersebut. Namun langkah ini dilihat sebagai tidak masuk akal kerana Netflix antara syarikat yang mempunyai banyak pengguna. Lebih-lebih lagi sekarang ini semakin banyak syarikat yang mampu menawarkan harga yang lebih murah dengan pelan yang lebih menarik.

Kenaikan harga ini melibatkan pelan Asas, Standard dan Premium. Untuk pelan Asas, harga meningkat sebanyak $1 kepada $9.99 (~RM41.81). Dalam pelan ini, pengguna hanya boleh menonton 1 skrin sahaja pada satu-satu masa. Netflix juga mengehadkan resolusi pada pelan Asas ditetapkan pada 480p sahaja.

Untuk pelan Standard pula, harganya kini adalah $15.49 (~RM64.83) iaitu meningkat sebanyak $1.50. Dalam pelan ini, pengguna boleh menonton 2 skrin serentak dengan resolusi 1080p.

Yang terakhir ialah pelan Premium yang harganya meningkat sebanyak $2 kepada $19.99 (~RM83.67). Untuk pelan ini, pengguna mampu menonton sehingga 4 skrin seretak dan resolusi tontonan boleh mencapai sehingga 4K HDR.



Kenaikan harga ini akan dikenakan serta merta pada pengguna baharu yang ingin berdaftar. Manakala bagi pengguna sedia ada pula, Netflix akan memberikan e-mail kenaikan harga dan memberikan pengguna pilihan sama ada kekalkan, tukar atau batalkan pelan sedia ada.

Dengan kenaikan harga ini, pengguna juga mungkin akan lari untuk menggunakan platform lain seperti Disney+ Hotstar.

Kenaikan harga ini hanya berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja. Buat masa ini, tiada berita bahawa Netflix Malaysia juga akan menaikkan harga. Apa-apa pun, pengguna perlulah bersedia jika berlaku kenaikan harga.

Sumber: The Verge

Baca juga: