Awal tahun lalu, negara jiran, Indonesia mengesahkan bakal menerima pelaburan dari syarikat Tesla untuk kilang bateri EV di negara itu. Terbaru, Tesla mengesahkan telah menerima kelulusan bersyarat untuk membina sebuah kilang gergasi pula di Jerman.
Dilaporkan kilang “gigafactory” Tesla yang bernilai US$5.5 bilion (~RM23 bilion) itu bakal dibina di luar Berlin, Jerman.
Projek ini pastinya dijangka dapat meningkatkan pasaran kenderaan elektrik itu dalam sektor EV yang sedang berkembang pesat di Eropah.
Lokasi kilang yang diputuskan oleh kerajaan negeri Bradenburg, Jerman ini dibuat setelah berbulan ditangguhkan dipercayai atas sebab sistem birokrasi dan kebimbangan terhadap penggunaan air kilang.
Walau bagaimanapun, kelulusan lesen itu tidak bermakna Tesla boleh memulakan pengeluaran dengan serta merta. Lesen itu tertakluk kepada tempoh bantahan awam serta syarat pemeriksaan akhir lain termasuk kawalan pencemaran udara dan penggunaan air.
Hasrat untuk membuka kilang di Jerman sebenarnya sudah diluahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk sendiri sejak bulan November 2019 lagi apabila beliau memuji dan mengakui kehebatan sektor kejuruteraan di Jerman.
Kilang gergasi Tesla ini bakal direka untuk mengeluarkan bateri EV dan sebanyak 500,000 kereta setahun. Syarikat itu juga akan bermula dengan antara 5,000 dan 10,000 kenderaan EV seminggu menjelang akhir tahun ini.
Sumber: CNBC
Baca juga: