Semalam, Menteri Kesihatan Khary Jamaludin menegaskan bahawa aplikasi MySejahtera tidak pernah dijual pada mana-mana pihak ketiga dan kekal milik kerajaan Malaysia.
Ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta, MySJ Sdn. Bhd. seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pada 26 November lalu, Kabinet memberi kelulusan kepada KKM untuk mengadakan rundingan terus dengan MySJ Sdn. Bhd. bagi pemindahan sistem aplikasi itu daripada KPISoft.
Jangan keliru, MySJ Sdn. Bhd ialah sebuah syarikat manakala MySejahtera ialah aplikasi. Ini bermakna, aplikasi MySejahtera yang dibangunkan KPISoft akan diambil alih oleh MySj Sdn. Bhd namun masih terus dimiliki oleh KKM.
Apa yang dikhuatirkan Datuk Seri Anwar, rundingan tersebut tidak dilakukan secara tender terbuka dan menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi serta risiko penyalahgunaan maklumat kesihatan rakyat Malaysia.
Akan tetapi jelas Khairy, keputusan kerajaan pada 26 November lalu menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk membuat rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun selari dengan tatacara perolehan kerajaan.
Maksudnya, MySejahtera belum diambil alih oleh MySJ Sdn. Bhd lagi kerana masih dalam proses rundingan selepas baru saja mendapat kelulusan Kementerian Kewangan 28 Februari lalu.
Menurut Codeblue, KKM masih berkira-kira sama ada untuk membeli keseluruhan sistem MySejahtera atau hanya perkhidmatan perisiannya.
Tambahnya lagi, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada KPISoft (kini dikenali sebagai Entomo) yang membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini bermula 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.
Menurut laporan, dua pengasas KPISoft atau Entomo (pembangun MySejahtera) merupakan ahli lembaga pengarah MySJ Sdn. Bhd., termasuk Shahril Shamsuddin, Ketua Eksekutif Sapura Energy sehingga Mei 2021, dan Megat Najmuddin Megat Khas, bekas ketua bahagian Umno yang menyertai Bersatu.
Dilaporkan bahawa 71.2% saham dalam MySJ Sdn. Bhd. adalah dimiliki pengasas KPISoft.
Disember lalu, PAC telah meminta kerajaan untuk tidak membuat apa-apa pembayaran sebaliknya langsung mengambil alih MySejahtera memandangkan aplikasi tersebut berasal daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ini selepas Perdana Menteri berkata kerajaan akan membuat pembayaran untuk penggunaan aplikasi tersebut bermula 1 April 2021 selepas tempoh CSR tamat pada 31 Mac 2021.
The Edge Markets melaporkan KPISoft dilantik oleh National Cyber Security Agency (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membangunkan MySejahtera dan bukannya MOSTI atau CITF.
Sumber: Utusan, Awani, MalayMail, FMT, Codeblue,
Baca juga: