Beli-belah dalam talian pada masa sekarang sudah menjadi norma baharu dalam masyarakat. Ditambah lagi kemudahan pembayaran ansuran, lebih ramai golongan berpeluang untuk memiliki barang yang diidamkan.
Antara yang popular adalah Shopee Pay Later atau sistem SpayLater di pelantar e-dagang Shopee. Sebagai penganut yang beragama Islam, pasti ada kekeliruan berkaitan sistem pembayaran seperti ini.
Oleh yang demikian, SS Mufti Wilayah Persekutuan kini memberikan penjelasan terhadap isu syariah berkaitannya.
Berdasarkan jawapan ringkas yang diberikan, ada beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar dalam sistem tersebut.
Pertamanya, kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya jika bayaran tersebut selesai sepertimana yang ditetapkan. Namun, jika pelanggan lewat bayar, caj lewat bayar dikenakan dan ini berlaku riba yang diharamkan Syarak.
Kedua, untuk kaedah ansuran pula. Kaedah ini timbul dua isu syariah padanya yang mana melibatkan caj pemprosesan (processing fee) dan caj lewat bayar (late payment fee).
Hal ini kerana caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba.
Oleh itu, umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Secara kesimpulannya, setelah melakukan penelitian, SS Mufti mendapati bahawa terdapat beberapa isu-isu syariah yang timbul. Ia adalah caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang mempunyai unsur riba.
Sementara, bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, maka tiada isu syariah padanya kerana tidak ada unsur riba dan boleh digunakan.
Namun, sekiranya pelanggan lewat bayar dan dikenakan caj tambahan, maka berlakulah riba al-Qard.
Akhir sekali, ditegaskan bahawa umat Islam dilarang terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Jadi kepada anda yang gemar membeli-belah, tiada masalah untuk shopping tetapi berbelanjalah mengikut kemampuan. Jangan terlalu mengikut trend rakan-rakan mahupun yang dipaparkan di media sosial.
Apa-apa pun, anda boleh membaca jawapan penuh SS Mufti di SINI.
Sumber: FB Mufti WP, pejabat Mufti WP
Baca juga: