Minat Nak Pakai Kamera Keluar Masuk? Vivo NEX Kini Rasmi Pada Harga RM2799

Pejam celik pejam celik hampir 5 bulan Vivo NEX dipertontonkan buat pertama kali pada acara Mobile World Congress Februari yang lalu dan kini ia telah rasmi buat peminat tempatan.

Tak mahu kelihatan pelik dengan skrin bertakuk, Vivo tampil lebih pelik dengan kamera swafoto yang boleh disembunyikan. Idea yang ditonjolkan pada peranti ini memberi ruang kepada syarikat pengeluar membawakan paparan skrin yang lebih luas berbingkai nipis.



Berada dalam kelas flagship, Vivo NEX dilengkapi dengan skrin Super AMOLED Ultra Fullview berukuran 6.59 inci dengan nisbah skrin ke badan 91.24%.

Spesifikasi dalaman pula dikuatkan dengan penggunaan cip pemprosesan pujaan ramai, Snapdragon 845, RAM 8GB, dan storan dalaman 128GB dengan sokongan memori tambahan melalui slot kad MikroSD.

Vivo NEX menggunakan tetapan dwi kamera belakang yang menggabungkan lensa 12MP + 5MP dengan ciri penstabilan imej optikal (OIS). Ciri utama yang dipertaruhkan pada model ini adalah kamera swafoto yang boleh bergerak keluar masuk, menggunapakai lens 8 MP.



Lain-lain ciri yang memperkemaskan peranti ini adalah pengimbas cap jari yang terbina pada skrin, bateri berkapasiti 4000 mAh, port USB Type C, dan antaramuka Funtouch OS 4.0 berasaskan Android Oreo 8.1.

Akan mula ditawarkan pada 28 Julai secara dalam serta luar talian disemua pengedar sah Vivo Malaysia termasuk platform Lazada, 11Street, Shopee dengan tanda harga RM2799.