Mengapa Anda Patut 'Restart' Telefon Pintar Sekurang-Kurangnya Sekali Seminggu?


Untuk kebanyakan dari kita, telefon pintar merupakan alat penting yang memberi impak terhadap bagaimana kita berkomunikasi, dan juga melihat atau membaca berita-berita baharu dalam masa sekelip mata.

Kapsyen: Gambar hiasan


Akan tetapi dalam konteks telefon pintar sebagai alat, adakah anda turut menjaga 'kesihatan' telefon pintar dengan betul dan selayaknya?

Tahukah anda hanya dengan menghidupkan semula telefon pintar atau mematikannya, telefon anda akan mempunyai kesihatan yang lebih baik.

Namun, kenapa? Kenapa perlu menghidupkan semula telefon pintar? Jika gunakan sahaja tanpa perlu hidupkan semula, apa bezanya pula?

Kenapa Perlu Hidupkan Semula Telefon Pintar?


Ada pelbagai sebab mengapa anda perlu hidupkan semula telefon pintar yang secara jangka masa panjang akan memastikan prestasi telefon pintar kekal lancar.

  • Mengembali semula memori

  • Mengelakkan crash

  • Jalan lebih lancar

  • Memanjangkan jangka hayat bateri


Nampak macam tidak percaya kerana terlalu banyak kelebihan yang boleh didapati hanya dengan menghidupkan semula telefon pintar. Namun, itu adalah hakikatnya.

Bob Motamedi, seorang konsultan teknologi berpangkalan di Los Angeles ada menjelaskan mengapa kita patut menghidupkan semula telefon pintar.

Menurutnya, untuk penggunaan seharian, aplikasi yang ditutup sebenarnya bukanlah ditutup sepenuhnya. Sebaliknya aplikasi tersebut hanyalah diletakkan pada keadaan yang membolehkan ia dibuka lebih pantas pada masa seterusnya.

Jika difikirkan, dalam seharian sememangnya banyak aplikasi yang kita sebagai pengguna buka. Kemudiannya aplikasi-aplikasi yang pelbagai ini perlahan-perlahan memakan memori dan juga kuasa bateri.

Sehingga satu tahap, anda terfikir "kenapa telefon pintar yang digunakan baterinya habis terlalu cepat"?

Kapsyen: Bateri habis - Gambar hiasan


Namun, hanya dengan menghidupkan semula telefon pintar, kesemua aplikasi akan pergi sepenuhnya, memori pula akan balik ke asal, dan membuang segala benda pelik yang anda pernah buka sebelum ini yang menghabiskan bateri telefon pintar.

Penjelasan Mengapa Perlu Hidupkan Semula


Aplikasi crash adalah disebabkan dari pelbagai faktor. Namun kebiasaannya kita sudah faham apabila aplikasi tidak berfungsi seperti yang diingini, kita dengan mudah akan menghidupkan semula telefon pintar.

Namun, jangan ingat jika tiada sebarang aplikasi yang crash, anda tidak perlu menghidupkan semula telefon pintar anda.

Ini adalah kerana setiap kemaskini yang diterima, halaman yang dibuka, aplikasi yang dipasang atau dibuang, kesemuanya akan menambah atau membuang kod di sebalik sistem operasi telefon pintar.

Ada kalanya sesetengah kod ini bercanggah atau tidak sesuai antara satu sama lain menjadikan telefon pintar anda tidak beroperasi dengan seefisien mungkin.

Disebabkan itulah, hanya membuang aplikasi dari senarai menu multi-kerja tidak mencukupi kerana masih terdapat sisa-sisa aplikasi yang tersimpan di sebalik sistem operasi tersebut.

Kapsyen: Gambar hiasan


Jadi, jangan tanya lagilah kenapa bateri telefon pintar cepat habis sedangkan pada masa yang sama anda buka aplikasi yang terlampau banyak.

Berapa Banyak Kali Perlu Hidupkan Semula?


Tiada aras piawaian yang ditetapkan berapa kali anda perlu hidupkan kerana kita semua menggunakan telefon pintar setiap hari dan 'tanpa henti'.

Namun sebagai norma, anda digalakkan untuk menghidupkan semula telefon pintar anda sekurang-kurangnya sekali seminggu.



Disebabkan proses menghidupkan telefon pintar tidak mengambil masa yang lama, jika anda menghidupkannya semula lebih dari sekali dalam masa seminggu pun tidak menjadi masalah.

Asalkan anda ada menghidupkan semula telefon pintar dan menjadikannya kebiasaan ketika menggunakan telefon pintar.

Rumusan


Walaupun perbuatan menghidupkan semula telefon pintar nampak ringkas, disebalik proses ini jugalah terkandungnya antara kaedah mudah bagaimana anda boleh menjaga kesihatan telefon pintar anda.

Dengan menghidupkan semula telefon pintar sekurang-kurangnya seminggu sekali, bukan sahaja anda boleh mengelakkan masalah aplikasi atau sistem perisian crash yang tidak diduga, malah turut boleh memanjangkan jangka hayat telefon pintar.

Dan yang paling penting, sudahkan anda hidupkan semula telefon pintar anda hari ini?