MediaTek kini memperkenalkan cip terbaru dalam ‘keluarga’ Dimensity — Dimensity 9400e.
Cip ini berada di bawah Dimensity 9400 dan 9400+, dan sebenarnya merupakan versi naik taraf ‘ringan’ daripada Dimensity 9300+ yang dilancarkan tahun lalu, dengan beberapa penambahbaikan.
Dibina menggunakan proses 4nm generasi ketiga daripada TSMC, MediaTek Dimensity 9400e menampilkan seni bina CPU All Big Core. Ia merangkumi 1 teras Cortex-X4 dengan kelajuan sehingga 3.4GHz, 3 teras Cortex-X4 2.85GHz, dan 4 teras Cortex-A720 pada kelajuan 2.0GHz. Cip ini turut dilengkapi dengan 8MB cache L3 dan 10MB SLC.
Bagi grafik pula, Dimensity 9400e menggunakan GPU Immortalis-G720 MC12 dengan 12 teras, lengkap dengan sokongan ray-tracing berasaskan perkakasan.
Dari segi memori, ia menyokong RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0 bersama teknologi MCQ.
Kebanyakan ciri media dan sambungan pada Dimensity 9400e masih sama seperti 9300+. Namun begitu, terdapat beberapa peningkatan ketara, termasuk sokongan Wi-Fi 7 dengan kelajuan yang lebih tinggi — kadar puncak 7.3Gbps berbanding 6.5Gbps pada 9300+. Cip ini juga menyokong Bluetooth 6.0 yang lebih pantas.
Cip ini turut menyokong SDK MediaTek NeuroPilot terkini, membolehkan pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI) moden dijalankan. Ini termasuk sokongan untuk Multi-Modality (LMM), Large Vision Models (LVM), serta pelbagai model bahasa (SLM/LLM) daripada ekosistem AI global.
Untuk pengalaman permainan, Dimensity 9400e mengekalkan sokongan MediaTek HyperEngine dan Adaptive Gaming Technology. Selain itu, ia menyokong teknologi MediaTek Frame Rate Converter (MFRC 2.0+), yang dikatakan mampu mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 40% apabila diaktifkan.
Ketersediaan
Dari segi ketersediaan, realme GT 7 yang dijadualkan pelancaran pada 27 Mei ini bakal menjadi telefon pintar pertama yang menampilkan cip MediaTek Dimensity 9400e.
{suggest}