Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Media Sosial Dan Video Kini Pintas Saluran Berita Tradisional

Posted on Jun 16, 2026

Pengunaan media sosial dan platform video kini secara rasmi telah memotong saluran media tradisional sebagai sumber rujukan maklumat serta berita paling popular di peringkat global.

Menerusi Laporan Berita Digital 2026 yang diterbitkan oleh Reuters Institute di bawah University of Oxford, tahun ini menandakan satu batu aras bersejarah apabila kadar kebergantungan masyarakat dunia terhadap platform digital baharu tersebut melonjak mencecah 54 peratus.

Angka berkenaan sekali gus memotong saluran berita televisyen (52 peratus), aplikasi atau laman web akhbar (51 peratus), dan radio (21 peratus).

Kajian komprehensif yang dikendalikan oleh firma penyelidikan YouGov ini melibatkan tinjauan ke atas hampir 100,000 responden merentasi 48 buah negara.

Ketua pengarang laporan, Jim Egan, menyatakan bahawa jurang penstriman ini menjadi lebih ketara sekiranya interaksi bersama bot sembang kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT diambil kira, yang mana ia melonjakkan kadar penggunaan sehingga 56 peratus.

Trend peralihan ini dipacu kuat oleh golongan muda berumur 18 hingga 24 tahun, di mana separuh daripada mereka menjadikan media sosial sebagai platform utama.

Corak penggunaan juga berbeza mengikut ekosistem; pengguna didapati melayari platform X dan YouTube secara khusus untuk mencari berita, manakala kandungan maklumat di Facebook, Instagram, dan TikTok lebih kerap ditemui secara tidak sengaja.

Situasi ini dilaporkan memberi impak parah kepada model perniagaan media lama.

Selain penguasaan pasaran iklan digital oleh gergasi teknologi seperti Google dan Meta, laporan setebal 180 muka surat ini mendedahkan hanya 17 peratus pengguna global yang sanggup membayar untuk langganan berita dalam talian.

Keadaan ini memburukkan lagi isu kelangsungan operasi bilik berita, di samping kadar kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti media arus perdana yang kini jatuh ke paras terendah iaitu sekitar 37 peratus sahaja. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress