Pada awal Mac lalu, Maybank telah memperkenalkan ‘Maybank Global Access Mastercard World Debit Card’, iaitu kad debit dengan sokongan pelbagai mata wang, termasuk Ringgit Malaysia (MYR).
Seperti namanya, kad ini diterima di peringkat global dan membolehkan pengeluaran tunai dari mesin ATM tempatan serta antarabangsa melalui rangkaian Mastercard (Cirrus).
Selain itu, ia juga berfungsi seperti kad debit biasa, membolehkan transaksi dalam talian serta pembelian di kedai melalui terminal Point-of-Sale (POS).
Sebelum memohon kad ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda tahu.
Siapa boleh mohon kad debit Maybank Global Access Mastercard?
Untuk mendapatkan kad ini, pengguna perlu membuka Maybank Global Access Account-i (GAA-i) dengan deposit permulaan minimum sebanyak RM50.
Akaun ini tersedia kepada pelanggan Maybank/Maybank Islamic sedia ada yang merupakan warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas serta mempunyai akaun semasa/-i atau simpanan/-i yang aktif.
Pengguna juga perlu mempunyai nombor telefon dan alamat berdaftar di Malaysia.
Akaun GAA-i patuh Syariah ke? Konsep apa yang diguna?
Ya, GAA-i adalah akaun patuh Syariah yang menggunakan konsep Komoditi Murabahah, di mana aset tertentu, seperti yang dianggap sesuai oleh Bank, dikenal pasti dan digunakan sebagai aset asas dalam transaksi jual beli antara Bank dan pelanggan.
Macam mana nak buka akaun GAA-i?
Bagi pelanggan Maybank sedia ada, pembukaan akaun boleh dilakukan melalui aplikasi MAE dengan beberapa langkah.
- Buka aplikasi MAE dan pergi ke bahagian “Apply”.
- Kemudian, pilih “Global Access Account-i” dan klik “Apply Now”.
- Isi butiran yang diperlukan.
- Sahkan butiran penghantaran kad debit. (Akaun ini terikat dengan Maybank Mastercard Global Access World Debit Card)
- Semak dan sahkan permohonan. Akhir sekali, buat pemindahan deposit permulaan sebanyak RM50 (minimum).
Sebagai alternatif, anda juga boleh rujuk video di bawah.
Setelah selesai, Kad Debit Maybank Mastercard Global Access World akan dihantar kepada pengguna dalam tempoh 3 hingga 7 hari bekerja selepas pengaktifan akaun berjaya.
Untuk bukan pelanggan Maybank, anda terlebih dahulu perlu membuka akaun simpanan atau semasa/i Maybank – rujuk pautan INI untuk membuka akaun melalui aplikasi MAE. Setelah akaun dibuka, ikut langkah di atas untuk membuka akaun GAA-i.
Ada caj dan bayaran kad ke?
Tiada bayaran tahunan yang dikenakan untuk kad debit Maybank Global Access Mastercard World.
Penggantian kad bagi kerosakan cip atau pembaharuan juga adalah percuma. Perlu diingat bahawa kad debit Maybank Global Access Mastercard World mempunyai tempoh sah selama 7 tahun, dan pembaharuan boleh dilakukan 1 tahun sebelum dan selepas tarikh tamat tempoh.
Jika pembaharuan dilakukan selepas tahun ke-8, atau penggantian disebabkan kad hilang, dicuri, rosak, atau terlupa PIN, caj RM12 akan dikenakan.
Ada caj pengeluaran tunai di ATM ke?
Empat (4) pengeluaran tunai pertama dalam sebulan di mana-mana ATM Maybank (Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina dan Kemboja) adalah percuma, manakala pengeluaran kelima dan seterusnya akan dikenakan caj RM0.50 bagi setiap pengeluaran.
Caj akan dikecualikan jika mempunyai baki melebihi RM5,000 pada waktu pengeluaran atau jika jumlah pengeluaran tunggal mencapai RM1,500 dan ke atas.
Pengeluaran tanpa had di mana-mana ATM Maybank tersedia dengan caj RM8 setahun (dicaj semasa pembukaan akaun dan pada ulang tahun akaun).
Bagi pengeluaran tunai di ATM bank tempatan lain, caj RM1 akan dikenakan.
Kalau di luar negara macam mana?
Untuk pengeluaran tunai di ATM luar negara dalam rangkaian Mastercard, caj RM12 akan dikenakan untuk semua mata wang yang disokong atau tidak.
Namun begitu, sehingga 12 Mac 2026, kad debit Maybank Global Access Mastercard World menawarkan 5X pengeluaran ATM luar negara secara percuma. Pemulangan semula caj bagi 5 pengeluaran ATM pertama di luar negara akan dilakukan pada bulan berikutnya.
Bagi transaksi melalui POS di kedai luar negara, caj penukaran mata wang asing sebanyak 1% akan dikenakan oleh Mastercard International jika transaksi ditolak daripada MYR. Namun, transaksi adalah percuma jika jumlah ditolak terus daripada mata wang asing yang tersedia dalam akaun.
Caj pemindahan dana
Pemindahan dana antara akaun sendiri, sama ada dari akaun semasa atau simpanan MYR ke MYR GAA-i atau mata wang asing, adalah percuma. Begitu juga, pemindahan daripada akaun pihak ketiga ke MYR GAA-i atau sebaliknya turut tidak dikenakan caj.
Bagi pemindahan telegrafik masuk, transaksi ke GAA-i dalam MYR akan dikenakan caj perkhidmatan RM5. Sementara itu, untuk pemindahan ke GAA-i dalam mata wang yang disokong (dengan syarat mata wang yang dihantar adalah sama), caj transaksi akan dikenakan mengikut kadar mata wang masing-masing.
Sokongan mata wang untuk simpanan dana
Akaun Maybank Global Access Account-i (GAA-i) berfungsi sebagai akaun berbilang mata wang yang membolehkan pengguna menyimpan dan melakukan transaksi dalam pelbagai mata wang, termasuk Ringgit Malaysia (MYR).
Pengguna boleh menukar mata wang asing melalui aplikasi MAE dengan kadar yang kompetitif. Jika baki dalam mata wang asing tertentu tidak mencukupi untuk transaksi, fungsi Auto Sweep akan secara automatik menggunakan baki MYR untuk melengkapkan transaksi tersebut.
GAA-i menyokong 18 mata wang, seperti berikut:
Had penggunaan kad
Had pembelian harian secara default ditetapkan pada RM3,000 (atau jumlah setara dalam mata wang asing), namun pengguna boleh menetapkannya sehingga RM20,000.
Bagi pengeluaran di ATM Maybank, had harian maksimum ialah RM10,000, dengan had setiap pengeluaran ditetapkan pada RM1,500 (had ini hanya boleh diubah di ATM).
Apa manfaat lain guna kad debit ini?
Maybank Global Access Mastercard World Debit Card menawarkan pelbagai manfaat eksklusif untuk gaya hidup dan perjalanan. Pengguna boleh menikmati diskaun hotel sehingga 12%, akses ke kedai bebas cukai, serta perayauan data percuma 300MB/3 hari di laman web dan aplikasi Airalo dengan Discover eSIM.
Bagi perlindungan tambahan, kad ini menawarkan perlindungan perubatan perjalanan sehingga USD100,000, elaun kuarantin, serta perlindungan pembelian e-dagang sehingga USD200 untuk penghantaran yang tidak lengkap atau rosak.
Untuk kegunaan harian, pengguna boleh menikmati hidangan utama percuma, satu malam hotel percuma, serta dua baucar Grab percuma setiap bulan untuk GrabFood dan GrabTransport.
Untuk manfaat lain, sila rujuk pautan INI.