Malaysia Berusaha Mengaplikasikan Sepenuhnya Teknologi 5G Menjelang 2023

Malaysia antara negara di rantau ini yang menerima baik teknologi 5G.


Kerajaan Malaysia dikatakan sedang berusaha untuk menggunakan sepenuhnya teknologi 5G menjelang 2023. Itu antara kandungan ucapan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya pada persidangan serantau mengenai Diplomasi Digital (RCDD) di Jakarta di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia percaya penggunaan teknologi itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjadi pemangkin pembangunan Malaysia.

Tambah beliau lagi, satu Pasukan Petugas 5G telah ditubuhkan bagu mengemukan laporan jangka pertengahan tentang proses Malaysia ke arah penggunaan 5G.

RCDD mengumpulkan para menteri, pegawai kerajaan, ahli pikir dan ahli akademik dari semua negara anggota ASEAN serta Australia, India, Jepun, New Zealand, China dan Korea Selatan untuk membincangkan dan berkongsi amalan terbaik mengenai penggunaan media baharu sebagai cara diplomasi yang berkesan.

Ia juga memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk melihat inisiatif dan kaedah baru dalam meningkatkan lagi diplomasi dan pada masa yang sama berusaha memupuk kerjasama serantau dalam diplomasi digital.

Malaysia menganggap teknologi digital sebagai faktor pemacu untuk inovasi dan pertumbuhan dalam banyak bidang penting dan diplomasi adalah salah satu daripadanya.

"Walaupun kita berpegang kepada kebebasan yang datang dengan digitalisasi dunia, kita juga harus berhati-hati terhadap impaknya terhadap keselamatan serantau kita," kata Marzuki.

Dalam ucapannya itu juga beliau menambah bahawa adalah penting bagi tadbir urus media sosial untuk mengekalkan keharmonian dalam negara serta dengan negara-negara yang lain.

Sumber: Bernama