Malaysia Akan Menyertai COVID-19 Vaccine Global Access Facility

Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa akan menyertai COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) Facility bagi mendapatkan sebahagian bekalan vaksin COVID-19.

Walaubagaimanapun, kerajaan akan membincangkan terlebih dulu terma penyertaan dengan The Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI) yang bertanggunggjawab mengendalikan COVAX.

Menerusi satu kenyataan media rasmi yang disiarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MOSTI akan bertindak sebagai penyelaras perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia.

MOSTI juga memaklumkan bahawa Kerajaan sedang menyediakan perjanjian bagi menyertai Coalition for Epidermic and Preparedness Innovations (CEPI) serta perjanjian government to government (G2G) bersama Kerajaan China.

Perjanjian G2G itu bertujuan bagi mendapatkan akses kepada vaksin yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal di negara tersebut.

Malah Kerajaan juga telah menandatangani non-disclosure  agreement   dengan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa yang sedang menguji vaksin COVID-19.

Menurut MOSTI, ujian tersebut telah pun berada di peringkat fasa ketiga untuk rundingan bagi mendapatkan kelulusan.

Usaha Kerajaan menyertai COVAX adalah bagi memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dan antara yang terawal menerimanya pada harga yang berpatutan selepas terbukti ia selamat dan berkesan.