Lebih 40 Juta Pengguna Netflix Dilaporkan Telah Menonton Siri 'Stranger Things 3'

Jumlah tersebut merupakan paling tinggi yang pernah dicapai oleh siri yang ditawarkan di Netflix.


Netflix A.S telah mengumumkan di laman Twitter mereka berkenaan kejayaan siri drama fiksyen terbitan mereka, 'Stranger Things 3'. Mereka mengumumkan bahawa sebanyak 40.7 juta isi rumah yang memiliki akaun Netflix dilaporkan telah menonton siri cerita terbaru itu sejak ia mula ditawarkan kepada para pengguna mereka di seluruh dunia.

Jumlah itu juga menjadikan siri drama tersebut sebagai satu-satunya terbitan yang tertinggi pernah dicapai oleh Netflix dalam tempoh 4 hari ia mula ditawarkan.

Daripada 40.7 juta itu juga, sebanyak 18.2 juta isi rumah pemilik akaun Netflix dilaporkan telah selesai menonton siri tersebut.

https://twitter.com/netflix/status/1148359444188712960

Berbeza pula dengan data yang diperolehi daripada kaji selidik oleh pihak Nielsen Media Research,  mereka mendakwa antara 4 Julai hingga 8 Julai lalu, hanya sebanyak 19.17 juta pengguna Netflix sahaja yang telah menonton episod pertama dari lapan episod siri 'Stranger Things 3'.

Jumlah tersebut walaubagaimanapun didapati berlaku penurunan yang memang dijangka di mana secara purata sebanyak 8.86 juta pengguna menonton baki episod seterusnya.

Malah 1.35 juta pengguna telah melangkau episod 7 siri tersebut dengan terus sahaja menonton episod akhirnya.

Selain Netflix, Nielsen juga turut menjejaki data pengguna yang melanggan servis yang ditawarkan oleh Hulu dan Amazon. Walaubagaimanapun, data yang diperolehi pihak Nielsen masih terhad di mana ia tidak meliputi pengguna yang menonton servis penstriman tersebut menerusi peranti pintar pengguna.

Sumber: The Verge