Laporan Bank Dunia Menyatakan Jalur Lebar Malaysia Mahal Disebabkan Kurangnya Persaingan

Beberapa hari lalu, Bank Dunia telah mengeluarkan laporan Malaysia's Digital Economy: A New Driver of Development yang membincangkan tentang pembangunan ekonomi digital tanah air.

Selain daripada itu, ia turut menyebut harga langganan jalur lebar yang tinggi serta liputan rangkaian yang rendah adalah berpunca daripada kurangnya persaingan dalam pasaran itu.

Ramai sudah maklum pasaran jalur lebar tanah air didominasi oleh Telekom Malaysia. Sepertimana yang dikutip dari laporan Bank Dunia, syarikat pengendali rangkaian terbesar Malaysia itu mempunyai 92% pegangan terhadap pasaran jalur lebar tempatan.

Oleh hal yang demikian, ia tidak memberi ruang kepada pengguna untuk memilih pakej jalur lebar dan terpaksa melanggan pakej sedia ada walaupun dengan harga yang mahal.

Walaupunbegitu,bermula beberapa bulan lepas, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan mengarahkan pihak pengendali perkhidmatan jalur lebar supaya menurunkan harga langganan serta meluaskan lagi penawaran internet kelajuan tinggi.

Hasilnya, beberapa syarikat termasuk TM, sudah mula memperkenalkan pakej dengan harga yang lebih murah daripada dahulu serta meningkatkan kelajuan internet. TNB sepertimana yang diberitakan sebelum ini juga sudah mula masuk ke pasaran jalur lebar negara.

Laporan penuh boleh diakses di sini - World Bank - Malaysia's Digital Economy: A New Driver of Development