Kualiti Kamera DSLR Pada Telefon Pintar Menjelang Tahun Hadapan

Sony telah membawa satu berita baik bagi mereka yang gemar mengambil gambar menggunakan telefon pintar baru-baru ini. Sony mengumumkan mereka sedang dalam proses menghasilkan sensor kamera 48-megapiksel yang akan dijangka akan digunapakai pada peranti telefon pintar seawal tahun 2019.

Kredit : PeaxPx


Sensor kamera yang digelar IMX586 didakwa mampu menghasilkan imej yang mempunyai kualiti setanding dengan kamera DSLR. Ia juga merupakan sensor dengan saiz piksel ultra padat pertama di dunia iaitu pada 0.8 μm.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Sony memberitahu mereka bukan sahaja mahu mempertingkatkan jumlah kiraan piksel pada sensor kali ini, namun mereka turut mahu memastikan kualiti imej yang terhasil dapat dipertingkatkan setanding dengan kamera professional seperti DSLR.

Mereka juga ada mengatakan bahawa kualiti video yang mampu diambil oleh sensor ini juga adalah amat tinggi. IMX586 dilaporkan akan mampu merakam video pada kualiti 4K@90fps dan 1080p@240fps, sesuatu yang sangat memberansangkan.


Kredit : Phonandroid


Sensor IMX586 dijangka tersedia pada September tahun ini, namun Sony mungkin akan menyimpannya untuk peranti keluaran mereka terlebih dahulu sebelum dibekalkan kepada pengeluar peranti yang lain. Sony Xperia XZ merupakan siri model yang dikatakan akan menjadi peranti pertama menggunakan sensor berkenaan.

Sumber