Kerajaan Negeri Johor Kaji Pasang Panel Solar Pada Bangunan Pentadbiran

Sebagai satu inisiatif jangka panjang kearah mempromosikan tenaga yang boleh diperbaharui kepada masyarkat, kerajaan negeri Johor dilaporkan sedang membuat kajian memasang panel solar pada bangunan-bangunan pentadbiran dalam negeri tersebut.

Menggarap laporan daripada Bernama, perbincangan mengenai pemasangan solar pada bangunan pentadbiran negeri Johor sudah berlangsung sejak beberapa bulan ini membabitkan beberapa syarikat terpilih melalui tender terbuka. Difahamkan juga terdapat syarikat-syarikat asing yang turut berminat untuk terbabit sama.

Disebutkan juga, selain bangunan pentadbiran kerajaan negeri, ia turut dirancang untuk diluaskan lagi penggunaannya pada pihak berkuasa tempatan dan seterusnya pada sektor swasta. Inisiatif kerajaan negeri Johor ini juga mendapat sokongan dari YB Yeo Bee Yin yang merupakan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim, dan Alam Sekitar. Pemasangan panel solar ini dijangka dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sumber: Bernama