Kenalpasti Ketulenan Telefon Anda Dengan 4 Langkah Mudah Ini

Isu pengguna tertipu dengan telefon palsu sudahpun berlaku sejak sekian lama.

Walaupun hidup dizaman serba moden dengan segala maklumat dihujung jari, masih ada dalam kalangan kita yang masih kurang arif dalam membeli gajet.

Ambil contoh ibu bapa kita yang sudah berusia. Takkan nak marah mereka sebab tak ambil tahu tentang gajet bukan?  Mungkin terpengaruh dek harga jualan telefon yang murah dari pasaran, mereka pun membeli tanpa usul periksa. Akhirnya peranti yang dibeli tidak mampu berfungsi sepertimana produk asli.

Jadi untuk membantu mengenalpasti ketulenan sesuatu telefon itu, Consumer Forum Malaysia (CFM) telah berkongsi 4 cara mudah yang boleh diikuti pengguna.

1. Periksa spesifikasi peranti tersebut



Langkah pertama adalah bandingkan spesifikasi telefon yang tertera dikotak bungkusan dengan sumber sahih seperti laman web rasmi syarikat pengeluar, atau laman web teknologi yang lain.

Untuk lihat spesifikasi telefon anda boleh pergi ke bahagian Setting dan pilih About Phone.

*Tambahan: Anda juga boleh muat turun aplikasi CPU-Z  dari Google PlayStore untuk maklumat lengkap tentang spesifikasi telefon anda.

2. Buat perbandingan dengan unit yang dijual oleh pengedar sah.



Kadang-kala kita dapat tawaran harga lebih baik daripada penjual telefon yang mungkin bukan pengedar sah. Itu tidak menjadi masalah, tetapi yang menjadi isu apabila penjual tidak mendedahkan status sebenar telefon itu. Ia mungkin set asli, mungkin juga klon.

Ada yang menjualnya dengan aksesori yang tidak lengkap, pengecas dan kabel yang tidak berkualiti. Selain itu, perhatikan juga ciri-ciri fizikal peranti. Jika perbezaannya ketara daripada set asli, kemungkinan besar ia peranti palsu.

*Tambahan: Jangan keliru dengan set import, pengecasnya berbeza dengan set rasmi dan waranti hanya ditanggung oleh penjual sahaja. Perlu diingat, setiap jual beli telefon yang tidak mempunyai label SIRIM serta SKMM adalah salah dan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

3. Semak nombor IMEI telefon anda

International Mobile Equipment Identity atau lebih mudah dipanggil IMEI boleh diibaratkan sebagai "kad pengenalan" kepada telefon anda.

Dail *#06# pada telefon anda dan angka 15 digit akan terpapar. Bandingkan nombor tersebut dengan nombor IMEI yang tertera pada kotak bungkusan.

Periksa juga nombor siri pada peranti dan kotak dan pastikan ia sepadan.

4. Pastikan telefon anda disahkan oleh SIRIM

Setiap peranti yang dipasarkan di Malaysia pastinya perlu melepasi syarat piawaian dari SIRIM.

Anda boleh semak nombor IMEI pada laman SIRIM melalui pautan ini - http://ecomm.sirim.my/SirimEnquiry/search_IMEI.aspx

Atau boleh juga semak menggunakan Check Your Label (Android, iOS), satu aplikasi yang dibangunkan bersempena kempen kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Itulah serba-sedikit langkah mudah yang boleh dilakukan untuk mengesan ketulenan telefon yang anda beli.

Jadilah pengguna bijak supaya tidak tertipu dengan penjual yang tidak jujur.

Anda mempunyai masalah yang belum selesai walaupun sudah dilapor kepada pihak penyedia perkhidmatan? Anda boleh panjangkan ia ke CFM untuk nasihat dan tindakan yang selanjutnya.

Sumber: CFM

Berkaitan