Di musim cuti sekolah ini, ramai ibu bapa merancang untuk membawa anak-anak dan keluarga pergi bercuti. Namun, nasib seorang lelaki ini bertukar menjadi mimpi buruk apabila ternyata rumah inap (homestay) yang ditempah, tidak wujud.
Masnawi Md Yusoff, berasal dari Port Dickson, berhasrat ingin menyambung cuti di Terengganu setelah menghabiskan masa di Kelantan, telah menempah satu homestay di Kuala Terengganu secara dalam talian.
Malangnya, apabila tiba di lokasi, dia gagal menemui rumah inap yang ditempah. Apabila cuba menghubungi ‘pemilik’ homestay beberapa kali, talian tidak langsung dijawab.
Katanya, dia telah menempah rumah inap ini secara dalam talian pada pagi Jumaat untuk dua hari, dua malam, dari 5 hingga 7 Jun, dan telah membayar sejumlah RM245.

Menurutnya lagi, selepas bayaran penuh sudah dibuat, dia menerima emel susulan, meminta bayaran tambahan sebanyak RM100 sebagai deposit.
Permintaan tersebut katanya diabaikan kerana bayaran penuh sudah pun dibuat sebelum itu.
Lebih memeranjatkan, setelah bercakap dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu, Masnawi diberitahu sudah berbelas orang mangsa yang dipercayai tertipu dengan homestay yang tidak wujud itu.
Akibat kesal, Masnawi dan keluarganya mengambil keputusan untuk pulang ke Port Dickson kerana gagal mendapat lokasi lain untuk menginap.
Sumber: Sinar Harian
Gambar utama: Sinar Harian
Baca juga: