Seorang pengguna di Facebook, Mohd Fadli Salleh berkongsi sebuah situasi di mana ramai pelajar ditipu atas tawaran kerja separuh masa.
Modus operasinya, scammer akan menyertai mana-mana kumpulan WhatsApp yang ahli majoritinya ialah pelajar IPT seperti group usrah dan memperkenalkan diri sebagai senior.
Scammer ini akan berkongsi pelbagai cerita tentang ‘kerja separuh masa’ dan tugasan dalam talian untuk menarik perhatian. Tetapi, ia hanya menggunakan beberapa ayat ringkas saja.
Pelajar (mangsa) yang menghubungi scammer secara peribadi akan diberikan gambar kononnya dia telah mendapat untung besar daripada perniagaan tersebut. Mangsa juga akan dihubungi scammer lain yang berkongsi tugasan dengan lebih terperinci.
Apa yang mangsa perlu lakukan hanyalah ‘membeli’ barang dan memberikan rating tinggi pada penjual di platform e-dagang seperti Shopee, Zalora, Lazada untuk menaikkan rating kedai.
Apa yang dijanjikan ialah 10% untung bersama 10% komisen.
Dalam kes ini, mangsa pada pertama kali memindahkang wang sebanyak RM76. Dalam masa 15 minit, dia mendapat semula wang tetapi degan jumlah RM86, bermakna untungnya ialah RM10.
Adat kegiatan scam, semuanya hanya indah pada waktu pertama kali. Pada kali kedua, mangsa diminta untuk memindahkan wang sebanyak RM745 dan tanpa fikir panjang terus melakukannya.
Dia mendapati tiada wang refund masuk ke akaun selepas 15 minit seperti sebelum ini. Scammer kemudian meminta lagi RM1,800 atas alasan ada isu dengan rakan kongsi.
Tak cukup dengan itu, scammer meminta lagi RM4,000 dan mangsa memberikan RM3,500. Hanya pada waktu inilah dia hanya sedar dia sudah ditipu namaun semuanya telah terlambat.
Scammer ini menggunakan nama ‘This Is Bridzia Platform Freelance Staff’ atau ‘Bridzia Customer Service’ dan nombor digunakan scammer masih boleh dihubungi walaupun banyak laporan polis telah dibuat, menurut pengadu.
Kami juga cuba menghubungi nombor tersebut dan ia masih ada di WhatsApp namun ‘last seen’ padanya ialah pada dua hari lepas. Pastinya scammer sudah meninggalkan nombor ini selepas mungkin dicaci hamun oleh orang awam.
Melalui carian Google, memang terdapat syarikat bernama Bridzia. Jadi, mungkin scammer hanya menyamar sebagai wakil syarikat tersebut untuk mendapatkan keyakinan mangsa.
Bukan hanya untuk mereka di IPT, tetapi untuk semua, usah terpedaya dengan apa-apa tawaran yang tampak terlalu ‘mewah’.
Baca juga: