Syarikat pembangun perisian reka bentuk digital terkenal dari Australia, Canva, mengumumkan penstrukturan semula besar-besaran yang akan memberi kesan kepada 1,271 pekerja.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 22% daripada tenaga kerjanya di seluruh dunia.
Penstrukturan semula ini berlaku ketika syarikat itu berusaha mengawal kos susulan pelaburan besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi satu kenyataan rasmi, syarikat itu menjelaskan langkah tersebut dibuat bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam teknologi serta keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Menurut Canva, kadar pertumbuhan syarikat itu mula perlahan buat pertama kali dalam tempoh sedekad, menyebabkan mereka perlu menyusun semula operasi untuk kekal kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama, Melanie Perkins, menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang amat sukar dan mengakui kesannya terhadap pekerja serta keluarga mereka.
Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, Canva memaklumkan akan menggabungkan pasukan Produk, Pertumbuhan dan Platform ke dalam satu organisasi yang lebih tersusun.
Syarikat itu juga merancang mengurangkan lapisan pengurusan serta menggalakkan pekerja mengambil peranan yang lebih luas bagi meningkatkan kecekapan dan kelajuan membuat keputusan.
Selain itu, Canva juga mahu lebih banyak pasukan utama ditempatkan di hab seperti Sydney bagi memperkukuhkan kerjasama secara bersemuka dengan bermula Januari, kebanyakan pekerja hibrid dijangka hadir ke pejabat antara dua hingga tiga hari seminggu
Bagi, pekerja yang terjejas, mereka akan menerima pakej sokongan termasuk sekurang-kurangnya enam bulan gaji, perlindungan kesihatan selama 12 bulan, bantuan peralihan kerjaya, langganan LinkedIn Premium selama setahun dan kebenaran untuk menyimpan komputer riba syarikat.
Canva turut menyediakan dana khas yang menawarkan geran AS$10,000 kepada bekas pekerja yang ingin memulakan perniagaan atau projek komuniti.
Diasaskan di Sydney pada 2013, Canva kini mempunyai kira-kira 5,500 pekerja di 37 negara dan melayani sekitar 220 juta pengguna aktif bulanan.
