Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

K. Selatan Akan Lancar Kapal Selam Nuklear Guna Teknologi Sendiri Menjelang 2030

Posted on Mei 26, 2026Mei 26, 2026

Korea Selatan bakal membina kapal selam berkuasa nuklearnya sendiri di dalam negara, menurut menteri pertahanan pada Selasa, dengan rancangan untuk melancarkan kapal pertamanya menjelang pertengahan tahun 2030-an.

Seoul kini sedang berusaha untuk memperkukuh keupayaan pencegahan terhadap Korea Utara yang bersenjata nuklear.

Langkah ini menyaksikan Korea Selatan bakal menyertai kelompok kecil negara yang mengendalikan kapal selam berkuasa nuklear, selepas menerima kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS) bagi pembekalan bahan api nuklear terhad.

“Kami akan membangun dan membina kapal selam berkuasa nuklear menggunakan teknologi kami sendiri untuk melancarkan kapal pertama menjelang pertengahan tahun 2030-an,” kata Menteri Pertahanan Ahn Gyu-back dalam mesyuarat strategi pertahanan yang turut dihadiri oleh Presiden Lee Jae Myung.

Ahn menyatakan bahawa kapal selam pertama itu akan mula beroperasi secara rasmi “pada separuh kedua tahun 2030-an”.

Korea Selatan sudah lama berhasrat untuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear bagi menangani ancaman ketenteraan Korea Utara yang kian meningkat, walaupun sebelum ini ia terikat dengan perjanjian kerjasama nuklear bersama Amerika Syarikat.

Presiden Lee pada November lalu memaklumkan bahawa Seoul telah menerima kelulusan daripada Washington untuk pembinaan kapal selam berkuasa nuklear, sebagai sebahagian daripada perjanjian keselamatan dan perdagangan yang telah lama dinantikan.

Kelulusan tersebut merangkumi kebenaran daripada AS untuk pengayaan uranium dan pemprosesan semula bahan api terpakai.

Bagaimanapun, sebelum ini masih belum ada petunjuk jelas mengenai lokasi kapal selam tersebut akan dibina, memandangkan Trump pernah menyatakan ia akan dibina “di sini, di AS”.

Korea Selatan, yang sememangnya memiliki reaktor nuklear, menyatakan bahawa mereka akan memenuhi obligasi non-proliferasi (senjata) nuklear sepanjang proses memperoleh dan menguruskan uranium diperkaya tahap rendah bagi kapal selam berkenaan.

“Republik Korea mengekalkan pendirian tegas bahawa ia tidak memiliki sebarang bentuk senjata nuklear dan tidak akan membangunkannya,” kata Ahn.

Lee menambah selepas taklimat oleh Ahn bahawa kapal selam berkuasa nuklear ini akan menjadi “simbol keazaman kami untuk bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea”.

Teknologi kapal selam nuklear AS dianggap sebagai antara rahsia ketenteraan yang paling sensitif dan dikawal dengan sangat ketat. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress