Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mula memasang meter pintar (smart meter) di beberapa kawasan seluruh negara bermula dengan Melaka pada 2020. Sehingga kini terdapat lebih 1.8 juta meter pintar telah dipasang di di seluruh Malaysia.
Dengan meter pintar dan aplikasi myTNB, pengguna boleh memantau penggunaan dalam RM atau kilowatt-jam (kWj) sebelum bil rasmi dikeluarkan, mendapat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil dan lain-lain.
Sebelum memantau penggunaan secara real time, menetapkan bajet penggunaan dan lain-lain, anda perlulah terlebih dahulu mencipta akaun di myTNB dan kemudian menambah akaun TNB rumah ke dalam aplikasi myTNB.
Usai mencipta akaun, log masuk dan kini anda bersedia untuk melihat bil dan sebagainya dengan mengikuti langkah di bawah.
Masukkan Akaun TNB Rumah Dalam Aplikasi myTNB
- Di halaman utama, tekan ‘Tambah‘.
- Pilih ‘Ya‘ jika anda pemilik kediaman tersebut, pilih ‘Tidak‘ jika penyewa atau lain-lain.
- Isi maklumat diperlukan.
- Jika pilih pemilik kediaman, sekarang anda hanya perlu isikan butiran diminta.
- Jika anda pilih bukan pemilik kediaman,
- Pilih ‘Ya’ jika anda mempunyai nombor kad pengenalan pemilik.
- Pilih ‘Tidak’ jika anda hanya mempunyai nombor akaun TNB rumah.
- Nombor akaun merujuk pada nombor akaun TNB anda yang boleh didapati pada bil fizikal anda.
- Untuk nama akaun, ia terpulang anda. Contohnya, ‘Rumah Ibu’, ‘Rumah Sewa Equine’.
- Tekan ‘Tambah Akaun’.
- Tekan ‘Sahkan’ jika alamat diberikan tepat.
- Tekan ‘Selesai’.
Semak bil semasa secara masa nyata (real time)
Untuk fungsi semak penggunaan semasa secara real time, ia terhad pada kediaman yang menggunakan meter pintar daripada TNB. Jika anda masih menggunakan meter biasa atau lama, anda hanya mampu melihat bil setelah TNB mengeluarkan bil secara bulanan.
Untuk mengetahui jika kediaman anda menggunakan Smart Meter atau tidak, pada senarai akaun TNB di aplikasi, seandainya terdapat ikon kecil berwarna biru cerah dengan kilat pada akaun tersebut, maka ia menggunakan meter pintar.
Selain itu, jika bil bulanan semasa tidak dipaparkan (bil rasmi secara fizikal juga belum dihantar), itu juga bermakna meter anda bukan meter pintar. Contohnya, anda menyemak pada bulan Mac namun bil terkini pada graf tersebut ialah Februari.
Hal ini kerana dengan meter pintar, anda boleh memantau penggunaan semasa walaupun bil rasmi belum dikeluarkan.
Ini langkah untuk melihat bil secara masa nyata:
- Di halaman utama, pilih akaun TNB yang anda ingin semak. Contohnya, ‘Rumah Ibu’.
- Di sini, anda dapat lihat graf untuk setiap bulan, Untuk bulan semasa, itulah penggunaan elektrik anda ketika ini.
- Contohnya sekarang ialah bulan Mac, tertera RM37 pada bulan Mac. Ini bermakna penggunaan anda setakat hari ini ialah RM37.
Diingatkan, jumlah tersebut belum termasuk cukai, diskaun atau caj tambahan daripada TNB.
Tetapkan Bajet Bil Sebulan
Dengan meter pintar, anda juga boleh menetapkan bajet bulanan seperti RM100 sebulan. Aplikasi akan memberitahu anda jika penggunaan anda menghampiri 100% bajet.
- Pilih akaun yang anda ingin tetapkan bajet.
- Tekan anak panah bawah, klik ‘Tetapkan Energy Budget Anda‘.
- Masukkan bajet anda contohnya, ‘RM150’.
- Tekan ‘Simpan’.
Selain itu, banyak lagi ciri ditawarkan melaluinya seperti menuntut untuk kerosakan harta akibat lonjakan elektrik. Pelbagai petua juga dikongsi dalam aplikasi tersebut tentang bagaimana untuk memanfaatkannya dengan sepenuhnya.
Baca juga: