Selepas berpuluh tahun isu beg pelajar sekolah berat kerana buku teks, pada tahun 2021 isu tersebut tidak lagi releven selepas Perbadanan Kota Buku (PKB) telah berjaya membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai “KPM eTextbook Reader”.
Aplikasi tersebut memudahkan para pelajar sekolah mendapatkan buku teks sekolah yang diperlukan mereka secara digital.
Aplikasi KPM eTextbook Reader boleh dimuat turun secara percuma dan dipasang ke dalam peranti pintar Android dan peranti iOS.
Selain menerusi aplikasi tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pelajar juga boleh mendapatkan buku teks digital yang diperlukan dengan memuat turunnya melalui portal DELIMa di pautan: www.moe-dl.edu.my.
Penawaran buku teks sekolah dalam versi digital bukan sahaja menyelesaikan isu beg sekolah berat tetapi juga menjimatkan kos cetakan.
Ia juga memudahkan para pelajar sekolah mengakses buku teks bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada bila-bila masa walau di mana sahaja mereka berada.
Sumber: Bernama