Rasanya, lebih daripada setahun penggunaan USB-C pada barisan iPhone sudah diperkatakan. Namun, ia semakin menjadi bualan hangat ramai orang tahun ini.
Terutama barisan iPhone 15. Walau apa pun, segalanya sudah terjawab. iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max secara rasmi membuat kemunculannya. Tanpa membuang masa, ayuh kita lihat penawaran baharu dalam barisan iPhone versi Pro tersebut.
Buat pertama kalinya, Apple menampilkan binaan titanium gred 5 buat iPhone 15 Pro dan juga iPhone 15 Pro Max. Mereka menyatakan bahawa ia adalah iPhone versi Pro paling ringan pernah dihasilkan dan paling tahan lasak.
Malah, bezel pada skrinnya juga jauh lebih nipis sekaligus menjadikan paparan pada barisan iPhone ini lebih luas berbanding pendahulunya.
Jika pada siri iPhone 14 Pro dahulu membuang takuk kepada Dynamic Island, kini siri iPhone 15 Pro pun ada membuang sesuatu, iaitu butang ‘mute’. Butang tersebut sebaliknya digantikan kepada butang ‘action’ dengan tindak balas haptik. Secara ringkasnya, fungsinya sama sepertimana yang kita lihat pada Apple Watch Ultra.
Jangan risau, butang action ini masih lagi membenarkan pengguna untuk tetapkan iPhone kepada mute. Akan tetapi kali ini ia jauh lebih daripada itu kerana pengguna boleh mengaktifkan voice memos, melancarkan aplikasi kamera, terjemahan atau pintasan (shortcut).
Beralih kepada bahagian dalaman, siri iPhone 15 Pro dilengkapi cip yang didakwa terpantas dalam mana-mana telefon pintar yang ada di pasaran, iaitu Apple A17 Pro dengan binaan 3nm. Cip ini hadir dengan 6 teras CPU (2x prestasi, 4x kecekapan). Sementara 16 teras neural engine juga 2x lebih pantas.
Bukan setakat itu, Apple seolah-olah semakin serius dengan arena gaming yang mana ia menampilkan ray tracing. Apa menariknya, banyak judul permainan popular memanfaatkan kemampuan pemproses grafik cip ini seperti Genshin Impact, Honkai: Star Rail, The Division, Assassins’s Creed Mirage dan juga permainan konsol Resident Evil 4.
Sistem kamera juga telah dipertingkatkan yang mana sensor lebih besar, salutan untuk kurangkan lens flare, prestasi gambar malam dan potret lebih baik serta lebih banyak pilihan jarak fokus; 24mm, 28mm, 35mm, 48mm (Pro Max), 120mm (Pro Max). Untuk versi Pro Max lagi, lensa telefoto mempunyai 5x zum optikal pada jarak fokus 120mm.
Tidak dilupakan juga, sama seperti model standard, siri iPhone 15 Pro juga mempunyai USB-C dengan USB 3 yang mana ia menyokong kelajuan pemindahan sehingga 10Gbps.
Terdapat 4 pilihan warna – black titanium, white titanium, blue titanium dan natural titanium.
Siri iPhone 15 Pro boleh dibuat tempahan awal bermula 22 September ini dan ia akan tersedia pada 29 September depan. Harga adalah bermula RM5,499 untuk iPhone 15 Pro 128GB dan RM6,499 untuk iPhone 15 Pro Max 256GB.
{suggest}