Insentif RM50 ePENJANA Untuk e-Dompet Boleh Ditebus Mulai Esok

Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan pelancaran program RM750 juta kredit ePENJANA, iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA). Ia bertujuan untuk membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Menerusi program ini, setiap pemohon yang layak akan menerima kredit RM50 ePENJANA mulai 31 Julai 2020.

Dalam program ini juga, terdapat tiga penyedia perkhidmatan e-Dompet yang terpilih untuk melaksanakan inisiatif ini. Antaranya adalah Touch 'n Go eWallet, Boost, dan GrabPay. Ia turut dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesanan kontak Covid-19 MySejahtera.



Bagi rakyat Malaysia yang ingin memohon kredit tersebut, pemohon perlu memuat turun salah satu dari tiga e-Dompet itu, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. Pemohon layak menebus RM50 kredit ePENJANA daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet terpilih.

Selain itu, ia turut dipadankan dengan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai (cash back), baucar dan/atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen ini berlangsung iaitu dari 31 Julai hingga 24 September 2020. Sementara tarikh akhir penggunaan ePENJANA adalah pada 30 September 2020.

Sumber: Menteri Kewangan Malaysia