Beberapa hari lalu, Microsoft telah melepaskan Windows 11 Insider Preview binaan 22557 melalui saluran Dev.
Sebelum ini, Microsoft membawakan beberapa pembaharuan dalam versi 22533, salah satunya ialah rekaan baharu untuk pelaras suara dan kecerahan. Panjang ceritanya kerana ramai pengguna mengalami sebuah isu dalam versi tersebut, anda boleh membacanya di SINI.
Terbaharu, kemas kini 22557 membawakan yang lebih banyak dan salah satu yang paling penting ialah ciri ‘drag and drop’ yang dibuang sejak awal kelahiran Windows 11. Pelik tapi benar.
Ciri ‘Drag and Drop’
Syukur, pengguna kini boleh meleret fail dari sebuah aplikasi ke aplikasi melaluiĀ taskbar. Ini antara perkara paling mustahak kerana ia memberi kesan besar pada kadar produktiviti seperti memindahkan gambar dari File Explorer ke WhatsApp.
Sebelum ini, pengguna perlu menggunakan shortcut ALT + TAB sambil hold fail yang hendak dipindah. Selain memahami hati budi wanita, pembuangan ciri drag and drop pada Windows 11 ini juga suatu perkara yang rumit dan mencabar akal insan.
Rekaan Task Manager Baharu
Rasanya agak lama rekaan ‘pengurus’ ini kekal sebegitu saja tanpa banyak perubahan. Jadi, selepas beberapa generasi Windows, kali ini ia dipakaikan dengan antara muka yang lebih selari dengan zaman.
Dengan Eco Mode, anda boleh mengehadkan aplikasi yang anda mahu supaya sistem dapat memberi prioriti pada aplikasi lain.
Ikon Folder Baharu
Kalau bercakap tentang generasi Windows baharu, pastinya ikon antara perkara yang jelas sekali perubahannya. Kali ini, hanya ikon folder sahaja diberi sedikit pembaharuan di mana ia turut memaparkan imej fail yang terkandung dalam folder tersebut.
Pin Fail Di Quick Access
Sebelum ini, pengguna boleh mengakses fail dengan mudah melalui Recent Files yang menyenaraikan fail berdasarkan waktu terakhir ia dibuka. Untuk pin pula, ia hanya diterhadkan pada folder.
Kini, untuk lebih memudahkan, anda juga boleh mengepin mana-mana fail di laman Quick Access.
Cipta Folder Di Start
Sejak dahulu lagi, Start menjadi tempat untuk pengguna mencari sesebuah perisian atau aplikasi kerana ia menyenaraikan semua perisian yang telah dipasang. Dengan Start baharu ini, pengguna juga boleh menggabungkan beberapa aplikasi dalam satu folder. Ini sama seperti apa yang pengguna boleh lakukan di telefon pintar.
Mod Fokus dan Do Not Disturb
Nampaknya Windows kini lebih banyak mengambil ciri daripada platform telefon, yang mana agak bagus untuk pengguna.
Untuk Do Not Disturb, anda boleh menetapkan bila ia akan dihidupkan secara automatik.
Untuk mod fokus, anda juga boleh menetapkan masa seberapa lama yang anda mahu. Jadi, notifikasi seperti daripada WhatsApp tidak akan dikeluarkan. Ia boleh diaktifkan dengan mudah melalui Notification Center.
Live Captions
Seperti pada peranti Apple dan YouTube, live captions berfungsi menyediakan sari kata secara masa nyata semasa apa-apa video dimainkan. Namun, ia hanya tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat saja buat masa ini. Jadi, saya sengaja tidak mahu meletakkan gambar atau bercakap panjang mengenainya sebagai protes atas ketidakadilan ini.
Gestur Untuk Start, Notification Center
Khas untuk yang menggunakan Windows 11 dengan skrin boleh sentuh seperti Surface, anda kini boleh membuka dan menutup Start, Notification Center denganĀ swipe sahaja. Ke atas, kiri dan kanan.
Buka Banyak Tetingkap Dengan Lebih Mudah
Untuk membahagikan skrin pada beberapa tetingkap, anda kini hanya perlu tarik aplikasi ke bahagian atas skrin lalu boleh memilih berapa banyakkah tetingkap anda mahu.
Selain itu, ada banyak ciri-ciri lain yang hadir dalam kemas kini terbaru, senarai di atas hanya menumpukan pada sebahagian daripadanya yang menarik.
Anda boleh baca di laman web Windows untuk lihat senarai penuh pembaharuan dengan maklmuat terperinci dalam binaan terkini itu.
Baca juga: