Windows 11, versi sistem operasi terkini daripada Microsft telah dilancarkan pada pengguna awam sejak Oktober 2021. Pun begitu, dengan beberapa syarat baru seperti kesediaan TPM 2.0, menjadikan tidak semua pengguna Windows 10 layak untuk menaik taraf komputer mereka.
Saya adalah salah satu mangsa syarat ketat ini tetapi disebabkan cip AMD, bukan kerana ketiadaan TPM 2.0. Sebagai seorang peminat teknologi yang tidak mahu ketinggalan, pelbagai cara diusahakan untuk melayakkan diri menggunakan sistem operasi terkini ini. Akhirnya, saya menemukan kejayaan walaupun bukan di menara gading.
Dengan menyertai program beta Windows iaitu Windows Insider Program, syukur, komputer saya yang disisihkan kini dapat disarung dengan Windows 11 walaupun bukan versi stabil.
Bagaimanapun, minggu lalu, kemas kini versi 22533 yang membawakan reka bentuk baru untuk laras suara (volume) dan kecerahan telah menyebabkan masalah pada komputer. Setiap kali saya cuba naik atau turunkan audio dan kecerahan, explorer.exe akan terhenti dan hidup semula (crash). Taskbar dan desktop akan berkelip buat beberapa saat sebelum kembali normal.
Kecewa, saya terus bersengkang mata sehingga ke pukul empat pagi bagi mencari jika ada hamba Allah yang lain mengadu tentang masalah ini di internet. Saya buntu sehinggalah menemui sebuah laman yang membawa ke Feedback Hub. Selepas itu barulah ditemui pengguna-pengguna lain yang sedia mengalami isu tersebut.
Sudah beberapa bulan dalam Windows Insider Program, baru kali ini saya menggunakan saluran Feedback Hub, terasa sedikit bebal. Syukur, hari ini Microsoft telah melepaskan kemas kini baru, 22538 yang menyelesaikan isu explorer.exe crash setiap kali pengguna melaraskan suara dan kecerahan.
Tanggal 20 Januari menjadi tarikh keramat saya apabila sesi restart selepas kemas kini memperlihatkan sebuah bar di atas taskbar apabila saya cuba melaraskan suara. Saya cuba pula menaikkan kecerahan, syukur, bar yang sama turut muncul.
Windows 11 memberikan pengalaman visual yang serba baharu di mana ia menampilkan yang ikon, cards yang lebih moden dengan rekaan seumpama kaca. Anda boleh mencuba naik taraf ke Windows 11 melalui Setting. Jika komputer anda tidak mempunyai spesifikasi ditetapkan, maka Windows akan memberitahu anda dan tidak akan menaik tarafnya.
Baca juga: